ANAK muda perlu bercita-cita tinggi dalam game.
ANAK muda perlu bercita-cita tinggi dalam game.
SQUARE Enix syarikat penerbit dan pembangun game popular.
SQUARE Enix syarikat penerbit dan pembangun game popular.
HAZMER di meja kerjanya di Square Enix, Tokyo.
HAZMER di meja kerjanya di Square Enix, Tokyo.
Afiq Hanif

Mempunyai syarikat dan memenangi anugerah pada usia 28 tahun seharusnya menjadi pelengkap hidup seseorang dalam kerjaya yang diidamkan selama ini namun berbeza bagi Wan Hazmer Wan Ab Halim.

Baginya, ia hanyalah permulaaan untuk sesuatu yang lebih besar dalam mencari inovasi dalam diri ekoran minat mendalam teknologi permainan.

Ketika berada di kemuncak kerjaya, Hazmer, meninggalkan segala-galanya termasuk syarikat yang diasaskannya hanya untuk merantau ke Jepun bagi menimba ilmu permainan digital dan mencari kerjaya di negara matahari terbit itu.

Hasil wang kemenangan beberapa anugerah, mengajar di kolej dan sokongan ibu bapa, impian menggunung Hazmer semakin jauh ke Tokyo.

Bukan itu saja, beliau tekad ke Tokyo walaupun tidak fasih berbahasa Jepun.

Berbekalkan wang hasil jualan syarikatnya, Hazmer menyertai kelas bahasa Jepun dan berjaya mendalaminya dalam tempoh satu setengah tahun.

Impiannya belum tamat. Dalam diam, Hazmer menulis 10 muka surat kertas kerja mengenai jalan cerita permainan berdasarkan karakter tertentu dan membentangkan idea terbabit kepada syarikat pembangun game popular, Square Enix Co Ltd.

Selepas pembentangan idea, eksekutif kanan Square Enix memanggil semula Hazmer untuk temu duga dan siapa sangka, anak Malaysia terbabit berjaya menyertai gergasi game dunia terbabit sebagai pereka permainan.

Square Enix terkenal dengan permainan Final Fantasy.

Mengimbau kembali detik terbabit, Hazmer berkata, semuanya bermula ketika beliau berusia lima tahun apabila bapanya membawa pulang sebuah konsol permainan.

“Saya masih ingat bapa membeli komputer Atari dan asyik bermain sehingga dia terpaksa mengunci konsol terbabit pada hari biasa dan membukanya hanya pada hujung minggu,” kata Hazmer.

Beliau dan sepupunya bermain pelbagai game melalui konsol terbabit sehingga meningkat remaja.

“Apabila usia meningkat, saya dan sepupu mula memberi komen mengenai game yang kami main,” jelas Hazmer.

Beliau tidak berpuas hati dengan beberapa jalan cerita dan grafik pada beberapa game yang dibeli.

“Dari situ, timbul persoalan mengenai kemampuan saya mereka cipta jalan cerita atau sesebuah game.

“Banyak idea yang saya hasilkan berdasarkan imaginasi bagi sesebuah game,” katanya yang menggemari game berlandaskan jalan cerita ketika usia muda.

Minat terhadap game menyebabkan Hazmer ingin meneruskan pengajian dalam penghasilan game namun ketika itu tiada institusi pengajian tinggi yang benar-benar menawarkan kursus berkaitan bidang game.

Hazmer menyertai Asia Pacific Institute of Information Technology (APIIT) dalam bidang pengaturcaraan namun perasaannya untuk membangunkan game membuak-buak.

“Apa saja dalam pembelajaran saya akan kaitkan dengan penciptaan game kerana begitu terdesak untuk berbuat demikian.

“Bayangkan pensyarah meminta membentangkan perisian perakaunan, saya akan memasukkan elemen game dalam perisian terbabit,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian, beliau menubuhkan syarikat pembangun game yang diberi nama Easy Only! Games.

“Game pertama yang kami cipta berdasarkan bola yang dinamakan Ballistic Wars.

“Ia memenangi tempat ketiga dalam anugerah indie Jayis Games Awards pada tahun 2007,” kata Hazmer.

Seterusnya pada tahun berikutnya, game ‘The Last Canopy’ pula tercalon dan ia mengungguli tempat pertama selain turut memenangi anugerah pilihan orang ramai.

“Saya tak sangka boleh memenangi tempat pertama kerana ia anugerah untuk game indie di peringkat dunia,” katanya.

Kembali dengan jalan cerita bersama Square Nix, Hazmer menyertai syarikat terbabit pada 2010 sebagai pereka game.

“Final Fantasy Type-0 adalah game pertama saya sertai pembikinannya.

“Di Square Enix, kami mempunyai bahagian dan terbabit dalam game yang memang saya gemar bermain ketika kecil,” katanya.

Hasil kerja kuat dalam syarikat, siapa sangka anak Malaysia ini kini ketua pereka bagi permainan FINAL FANTASY XV, game yang digilai remaja di seluruh dunia.

“Kadang-kadang komunikasi dengan pekerja syarikat yang berlainan negara memang sukar namun kami terus berkomunikasi,” kata Hazmer yang mengetuai pasukan pereka yang majoritinya warga Jepun.

Namun, menurut Hazmer, beliau seronok bekerja bersama dan mempelajari budaya yang turut menjadi minatnya.

“Dalam game yang direka, saya akan cuba menerapkan elemen Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, mencipta jalan cerita yang menarik bagi sebuah game bukan semudah yang disangka.

“Elemen kecil yang nampak remeh pun perlu diperhalusi dengan mendalam bagi menawarkan jalan cerita dan game yang menarik,” katanya.

Beliau memperoleh banyak idea kerana gemar mengembara walaupun untuk tempoh singkat bagi melihat sendiri dunia luar yang memberi inspirasi.

“Saya mempelajari budaya moden dan gemar mengembara kemudian elemen terbabit dicantumkan sebagai sumber inspirasi,” katanya.

Beliau menasihatkan individu terutama anak muda untuk tidak mengalah dalam meneruskan minat masing-masing.

“Kita perlu sentiasa tidak berputus asa dalam meneruskan minat dan kekalkan identiti sebagai rakyat Malaysia,” kata Hazmer.

Hazmer kini berada di Kuala Lumpur untuk menyertai acara Level Up KL yang akan berlangsung 5 hingga 9 November ini.

Ia dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan turut ditaja Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD) dalam usaha melahirkan bakat dan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi setaraf pemba­ngun game lain yang popular.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 8:36 AM