NIK imbas kenangan ketika proses album pertama Putra.
NIK imbas kenangan ketika proses album pertama Putra.
Ridzuan Abdul Rahman


Awalnya, Nik Putra memperjuangkan muzik rock bersama kumpulan Hunterfive dengan menyertai pertandingan Juara-Juara Rock di Galactica, Ampang yang turut disertai Febians, Scandals dan May.

Bagaimanapun, pelawaan daripada anggota Sonorus yang mengajaknya menyertai kumpulan mereka tidak mampu ditolak.

Nik, 49, atau nama sebenarnya Mohd Podzi Daud tidak menunggu lama untuk bersetuju kerana melihatkan ada keserasian antara mereka.

“Sonorus ditubuhkan oleh Maizan (Kiss Putra) dan Zane. Anggota lain ialah Idris, Calvin dan Man. Apabila saya masuk, namanya ditukar kepada Putra atas cadangan saya kerana ketika itu trend nama Melayu mula popular.

“Kami kerap menyertai pertandingan nyanyian di Kuala Lumpur dan akhirnya bakat kami diperhatikan komposer popular Fauzi Marzuki yang membawa kami ke syarikat rakaman EMI.

“Bernaung dibawah label antarabangsa sesuatu yang istimewa kerana kami dilayan dengan baik dan sentiasa dinasihatkan jaga imej agar jangan melepak di sebarang tempat,” katanya.

Album pertama Putra berjudul Putra terbitan Jose Thomas dikeluarkan pada 1988 dan Nik mempunyai kenangan tersendiri ketika proses rakaman dibuat.

“Ketika itu kami menetap di Melaka dan diberikan hotel di Kuala Lumpur sepanjang rakaman dibuat. Selepas selesai beberapa lagu, Jose berikan saya masa untuk berehat sebelum kembali menyambung rakaman. Sebaliknya saya pergi makan roti canai dan apabila masuk studio suara terus hilang. Dia marah saya dan suruh balik ke bilik. Esoknya barulah rakaman dibuat semula.

“Tak dinafikan dia tegas ketika bekerja bagi menghasilkan album yang terbaik. Kami beruntung kerana diberikan studio yang hebat iaitu King Studio dan Gaya Studio,” katanya.

Selepas album pertama yang memuatkan lagu popular berjudul Nazira, Putra terpaksa menunggu lama untuk menghasilkan album kedua kerana menunggu giliran.

“Album pertama menyaksikan gandingan anggota saya, Ann, Zane, Salleh dan Daud. Kami akhirnya memilih untuk menamatkan kontrak dengan EMI dan selepas itu dilamar oleh AKI Production pula.

“Album Formula Mimpi dihasilkan pada 1990 dan anggotanya ketika itu ialah saya, Kiss, Ann, Ari dan Man. Lagu popular kami ialah Cinta Kain Putih. Peminat menyukai lagu kami dan banyak tawaran untuk buat persembahan diterima. Kami juga berjaya menembusi funfair walaupun ketika itu XPDC dan May menguasai pasaran,” katanya.

Album ketiga Putra berjudul Rochestra dihasilkan pada 1991 dan ini menjadi album terakhir mereka untuk peminat.

“Saya masih aktif menyanyi solo dan akan tampil dengan single terbaru berjudul Mana Tau Nie dan Nya pada tahun depan. Berita baik untuk peminat Putra kerana kami akan bergabung semula untuk beraksi pada Rythms of the Farmers (ROTF) sempena MAHA2016 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (Maeps) Serdang pada 7 Disember ini.

“Selain saya, Putra kali ini dianggotai oleh Kiss, Oliver dan Jayento. Diharapkan peminat hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 5:00 AM