Rudy Syareme Sheriffudin


Bayan Lepas: Hujan lebat sejak 3 pagi tadi mengakibatkan Kampung Batu Maung, di sini, dinaiki air sedalam 0.2 meter.

Seorang penduduk, Hasiah Md Isa, 58, ketika ditemui berkata, air mula naik secara mendadak kira-kira 5 pagi sehingga mencecah paras paha dan melimpah masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, minggu lalu kawasan rumahnya sudah dilanda banjir kilat dan ia berulang lagi hari ini.

"Tahun ini sahaja sudah tiga kali berlaku banjir kilat dan ia dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang dilakukan di sini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Secara keseluruhannya kira-kira 15 rumah penduduk sekitar kawasan kampung terbabit dinaiki air dan kerja-kerja pembersihan rumah sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 1:15 PM