Zuhainy Zulkiffli


Batu Maung: Hujan lebat berterusan selama dua jam pada awal pagi hari ini menyebabkan rumah lima keluarga di Kampung Permatang Tepi Bendang, di sini dinaiki air.

Penduduk Ghazali Ismail, 51, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda disebabkan limpahan air deras yang disedari pada 7 pagi.

Katanya, barangan seperti peti sejuk, almari, mesin basuh dan perabot yang dibeli ketika Aidilfitri lalu turut ditenggelami air.

"Ini adalah kali keenam rumah kami dinaiki air dalam tempoh lima bulan dan kami sudah berhabis wang bagi membaiki peralatan yang rosak.

"Banjir kilat ini mengambil masa agak lama untuk surut, mungkin pada lewat petang atau malam," katanya ketika ditemui hari ini.

Ghazali mendakwa banjir itu berlaku akibat tindakan pemaju yang tidak menyelenggara longkang di tapak projek pembangunan yang terletak kira-kira 100 meter dari kampung berkenaan.

Katanya, wakil penduduk pernah berbincang dengan pemaju mengenai masalah itu namun masih tiada tindakan.

"Setiap kali hujan lebat kami resah kerana bimbang rumah dinaiki air sekali gus mengundang haiwan berbisa seperti ular.

"Saya serta penduduk yang terjejas akan tinggal di surau berhampiran buat sementara waktu sehingga air surut dan selepas rumah dibersihkan," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, pihaknya sudah meninjau rumah penduduk yang terjejas dan tindakan segera akan diambil, antaranya mengorek longkang dan saluran yang tersumbat bagi memudahkan aliran air serta mengelak banjir berulang.

Katanya, pemaju juga akan diarah melakukan pemeriksaan terhadap penyelenggaraan itu secara berkala.

"Difahamkan sebanyak 50 rumah penduduk berhampiran Lebuhraya Batu Maung dan Kampung Permatang Tepi Bendang terjejas akibat banjir kilat hari ini, namun di kampung ini paling teruk.

"Terdapat dua Projek Tebatan Banjir (PTB) iaitu di Bayan Lepas dan Batu Maung yang dijangka siap pada Oktober yang diharap akan menyelesaikan masalah berkenaan yang kerap berlaku di kawasan ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Banjir kilat separas lutut dewasa di Kampung Permatang Tepi Bendang di sini, adalah kali keenam berlaku dalam tempoh lima bulan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Banjir kilat separas lutut dewasa di Kampung Permatang Tepi Bendang di sini, adalah kali keenam berlaku dalam tempoh lima bulan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 4:20 PM