RAIHAN diwakili Che Amran (kiri) dan Abu Bakar.
RAIHAN diwakili Che Amran (kiri) dan Abu Bakar.
MAN Kidal akan mengiringi persembahan Ella.
MAN Kidal akan mengiringi persembahan Ella.
Ridzuan Abdul Rahman

Sebaik melancarkan portal mylegend.com baru-baru ini, gitaris handalan Man Kidal mengorak langkah menganjurkan Karnival Fiesta MyLegend pula buat peminat.

Program sulung menampilkan dirinya, Ella dan Raihan akan berlangsung di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor pada Jumaat hingga Ahad ini.

“Ini program pertama Man Kidal Label (MK Label) sejak ia beroperasi. Sekarang saya fikir sudah tiba masanya untuk kami anjurkan karnival sendiri. Kami juga fikirkan ini peluang untuk peniaga lain bersama-sama cari makan dengan MK Label,” katanya.

Menurut Man, idea dan perancangan sudah lama difikirkan dan apabila mendapat respons yang baik, MK Label tidak ragu-ragu menganjurkan karnival ini.

“Sebanyak 100 khemah niaga disediakan dan 70 daripadanya sudah mempunyai penyewa. Johor dipilih sebagai pembuka tirai kerana kami ramai pelanggan di sini (Johor), selain Kelantan,” katanya.

Menurutnya, MK Label sendiri sudah mempunyai bangunan di Johor Bahru yang menempatkan barangan jualan mereka, kafe dan akademi muzik.

Acara yang disusun untuk pengunjung nanti bermula dengan program aerobik pada jam 8 pagi Jumaat ini dan selepas itu mereka berpeluang beramah mesra dengan artis MyLegend dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Abdul Samad yang dijangka hadir.

Turut diadakan ialah pertandingan karaoke pada sebelah petang, manakala pada sebelah malam pula berlangsung program selawat bersama kumpulan Raihan.

Keesokannya akan diadakan pertandingan memancing dan pada malamnya pula berlangsung Konsert MyLegend membariskan Man Kidal, Ella dan Raihan, manakala konsert pada Ahad ini menampilkan artis seperti Elji, Faradiva dan Athira Rahim.

“Untuk konsert, saya akan menampilkan solo bersama artis jemputan dan selepas itu barulah mengiringi persembahan Ella.

“Persembahan Raihan juga ditunggu-tunggu oleh peminat kerana selama ini mereka banyak beraksi di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Ella pula menyatakan perasaan tidak sabarnya untuk menghiburkan peminat di Johor.

“Saya sudah lama tidak mengadakan persembahan di Johor. Sudah tentu saya teruja untuk beraksi,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:02 AM