Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Dia pernah diisytihar muf­lis dan hilang semua harta benda ketika kegawatan ekonomi pada 1997 akibat tersilap membuat percaturan sewaktu membuat perniagaan di­sebabkan tiada ilmu ketika itu.

Namun disebabkan sikap tidak mudah mengalah dan mahu berjaya, Asrul Effendy Arshad, 41, bertekad mahu meneruskan legasi perniagaan jeruk yang diwarisi daripada arwah ayahnya, Arshad Junid sejak 1995.

Bercerita mengenai perniagaannya yang mampu bertahan sehingga kini, Ketua Pegawai Eksekutif Saudagar Albanjary Teguh Resources yang mengeluarkan produk jenama Jeruk Saudagar itu berkata, dia bermula dari bawah sebelum memegang jawatan seperti sekarang.

"Sebenarnya perniagaan ini bermula dengan arwah datuk yang memulakan perniagaan menjual buah mangga dan hasil kampung sejak zaman Jepun lagi.

"Saya masih ingat, meskipun datuk hanya menjual secara kecil-kecilan, dia menerapkan ilmu perniagaan kepada cucunya, malah falsafah yang diturunkan kepada kami masih saya gunakan hingga kini iaitu ketekunan dan ketabahan," katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, meskipun pernah muflis, dia tetap mahu membuktikan tiada apa yang mustahil dicapai asal ada kemahuan.

Bagi memulihkan kembali perniagaan jeruk syarikatnya, Asrul Effendy mengambil inisiatif mengkaji kaedah pembuatan jeruk serta membuat penambahbaikan sehingga terhasil resipi jeruk madu saudagar seperti sekarang.

"Alhamdulillah, berkat usaha yang tidak kenal jemu, kami mula dikenali dan Jeruk Saudagar mendapat sambutan meng­galakkan daripada masyarakat.

"Saudagar Jeruk sangat mementingkan keaslian rasa buah. Rasa jeruk kami masam-masam manis, tidak seperti jeruk lain yang terlalu manis. Kami meng­gunakan gula pasir, cuka buah serta madu lebah," katanya.

Asrul berkata, Jeruk Saudagar boleh tahan sehingga enam bulan jika dijaga dengan baik. Antara jeruk paling mendapat sambutan ialah jeruk salak, mangga kuning, pelam kulit dan mangga asam boi.

"Jika mahu tahu sesuatu jeruk itu masih elok atau sebaliknya, lihat isinya. Jeruk yang elok adalah segar dan kenyal manakala yang rosak akan berbau, kering, berubah warna dan hancur.

"Kami juga mencari lokasi sesuai untuk dijadikan pusat jualan dan pemprosesan di Selayang. Sehingga kini jeruk kami boleh didapati di Selayang Mall, IOI City Mall, Tesco Melaka Sentral, Uptown Jalan Reko, Kajang, Seri Kembangan, Bukit Ampang dan yang terbaru di Giant Senawang, Port Dickson," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:01 AM