LEPAS 6 tahun, anggota asal program realiti itu mahu kembali fokus pada muzik.
LEPAS 6 tahun, anggota asal program realiti itu mahu kembali fokus pada muzik.
Amirul Haswendy Ashari


Nampaknya penonton tidak dapat lagi berhibur dengan Pasangan Isnin (Monday Couple) dalam rancangan realiti popular Korea, Running Man apabila Gary Kang bakal meninggalkan program itu tidak lama lagi.

Ia diumumkan produksi Running Man pada 25 Oktober lalu. Menurut laporan, Gary memaklumkan hasrat meninggalkan rancangan itu sejak awal tahun tetapi pada masa sama, kru produksi serta rakan lain cuba membuatkan dia menukar fikiran. Ternyata cubaan mereka tidak berjaya apabila Gary tetap mahu mengundur diri.

Gary mengakui sudah lama berhasrat meninggalkan program itu kerana mahu meluangkan lebih banyak masa buat bidang dicintainya iaitu muzik. Dia juga mahu mempelajari muzik dengan lebih jauh.

Bagi menghormati keputusan Gary, produksi terpaksa melepaskan penyanyi rap berusia 38 tahun itu. Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada Gary kerana memberikan komitmen terbaik selama enam tahun menjadi sebahagian daripada keluarga Running Man.

Produksi menyifatkan keputusan melepaskan Gary sebagai perkara yang sangat menyedihkan buat mereka kerana dia adalah seorang daripada ahli asal Running Man.

“Oleh sebab dia mahu fokus pada kerjaya muzik, kami ucapkan selamat,” kata wakil produksi.

Gary menjadi sebahagian daripada keluarga SBS sejak Julai 2010 dan penggambaran terakhir bersama Running Man pada 31 Oktober.

Dalam pada itu, seorang lagi selebriti daripada rancangan berkenaan, Song Ji Hyo yang selama ini dikenali sebagai seorang yang jarang berkongsi kisah peribadi, memberikan pendapatnya mengenai perkahwinan dalam satu program TV.

Malah Ji Hyo begitu terbuka bercakap mengenai isu berkaitan seperti curang dan perceraian dalam episod Abnormal Summit yang bersiaran pada 24 Oktober lalu.

Kata Ji Hyo, 35, dia bercakap mengenai isu itu sempena judul drama bersiri terbaru lakonannya bersama Lee Sun Gyun, This Week My Wife Is Having An Affair dan dia memegang watak isteri curang itu.

Pengacara program, Yoo Se Yoon bertanya kepada Ji Hyo bagaimana dia berdepan dengan isu itu jika berlaku dalam hidupnya.

“Jika saya benar-benar mengesyaki sesuatu dan ada perasaan kuat mengenainya tetapi tidak mempunyai bukti kukuh, daripada saya selongkar barangan peribadinya, lebih baik saya terus bertanya padanya,” katanya.

Dalam program itu, Ji Hyo turut melakonkan babak dia berdepan dengan suami curang bersama pengacara. Dia lakonkan babak meminta telefon bimbit si suami selepas pulang lewat.

Pengacara pelawak itu berlagak seolah-olah memberikan telefon bimbit kemudian dilempar ke udara dan memijaknya dengan perasaan marah.

Secara peribadi, Ji Hyo akui boleh memaafkan jika pasangannya curang tetapi dengan syarat, ia berlaku sekali sahaja.

“Itulah satu perkara yang saya fikirkan ketika pegang watak sebagai isteri curang. Saya fikir kamu boleh maafkan seorang pelakon yang pernah menipu sekali. Adakah ia tidak normal? Ia satu prasyarat yang boleh berlaku sekali sahaja,” katanya.

Baginya, sekali curang bermaksud ia satu kesilapan tetapi tidak boleh diterima jika sifat curang itu berlaku dua kali. Jika itu berulang, dia tidak akan maafkan.

Ji Hyo juga mengaku tidak menyokong perceraian kerana berpendapat, ia adalah pilihan terakhir selepas tiada lagi pilihan lain yang dianggap sesuai.

Pelakon Emergency Couple itu meluahkan pendapat positif mengenai peranannya dalam drama terbaru. Katanya, watak dipegang tidak seburuk disangka dan cerita dalam drama itu boleh buatkan penonton berasa empati.

“Saya rasa mereka (penonton) akan terhibur dengan drama itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:05 AM