Antara jentera berat yang dirampas. FOTO ihsan Jabatan Perhutanan Perak
Antara jentera berat yang dirampas. FOTO ihsan Jabatan Perhutanan Perak
Yahya Awang


Taiping: Jabatan Perhutanan Perak tahan tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an kerana disyaki teroka kawasan Hutan Simpan Jebong, di sini, 11 pagi semalam.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Roslan Ariffin berkata, sepasukan pegawai dan penguatkuasa jabatan itu membuat serbuan di kawasan hutan simpan itu sebelum mendapati tiga lelaki berkenaan dipercayai sedang meneroka kawasan hutan simpan itu menggunakan jentera berat.

Katanya, penerokaan itu dipercayai dilakukan mereka sejak awal bulan ini membabitkan tanah seluas tiga hektar untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

Menurutnya, pihaknya merampas tiga jentera berat termasuk sebuah jengkaut, trak pikap Toyota Hilux serta sebuah motosikal dan semua rampasan dianggarkan bernilai RM300,000.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Subseksyen 32 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984.

"Mereka akan didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada media selepas merasmikan Program Perhutanan Sosial, anjuran Jabatan Perhutanan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Dewan SMK Dr. Burhanuddin di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 6:03 PM