Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pesakit yang berjaya diselamatkan dari blok bangunan induk yang terbakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) masih dalam keadaan trauma.

Sebahagian pesakit yang diselamatkan daripada wad di tingkat empat dan lima ditempatkan di Bilik Seminar di Blok D, HSA.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Natinah Denan, 63, berkata, dia yang tidak mampu berjalan merupakan pesakit terakhir yang diselamatkan dari wad tingkat empat.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berehat selepas memakan sarapan pagi.

Katanya, kejadian berlaku dalam sekelip mata dan apabila asap mula naik ke tingkat empat, semua pesakit diminta turun untuk menyelamatkan diri.

"Saya yang mendapatkan rawatan di wad Neurologi Timur 4 tidak tahu mahu buat apa kerana tidak mampu berjalan selepas pembedahan pembuangan nanah di pinggang.

"Biarpun cemas, saya sempat menghubungi anak kerana khuatir ditimpa kejadian tidak diingini.

"Saya bersyukur kerana doktor dan jururawat membantu saya," katanya.

Sementara itu anak perempuan Natinah, Nurasakila Tukiman, 28, dia lega apabila mendapati ibunya dalam keadaan selamat.

"Saya hanya mampu berdoa kepada Allah agar menyelamatkan nyawa ibu selepas mendapat panggilan dari ibu kira-kira 9 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 1:02 PM