ACE dan Sheila menutup muka ketika diwawancara oleh wartawan SBS Dateline. - Agensi
ACE dan Sheila menutup muka ketika diwawancara oleh wartawan SBS Dateline. - Agensi
Agensi

Manila: Satu pasangan suami isteri mengaku mengetuai satu skuad pembunuh yang bertanggungjawab dalam hampir 800 kes pembunuhan suspek dadah di Filipina.

Mereka antara beberapa kumpulan pembunuh upahan yang mendakwa mendapat arahan membunuh sasaran yang diarahkan oleh polis.

Dalam satu pendedahan oleh program televisyen Australia, SBS Dateline, pasangan yang dikenali sebagai Ace dan Sheila memberitahu, mereka dibayar AS$100 (RM416) untuk setiap sasaran yang berjaya dibunuh.

Skuad berkenaan sebelum ini didakwa terbabit dalam kempen memerangi dadah yang dilancarkan Presiden Rodrigo Duterte yang berikrar membunuh 100,000 penagih dan pengedar dadah.

Sekurang-kurangnya 2,730 mangsa ditembak mati oleh individu tidak dikenali yang meninggalkan mesej pada mayat seperti ‘saya pengedar dadah.’

Ace dan Sheila mendakwa kumpulan mereka bertanggungjawab membunuh suku daripada jumlah mangsa berkenaan.

“Kami menerima panggilan daripada seorang pegawai polis yang kami panggil Bos yang kemudian memberi nama dan gambar sasaran yang perlu dibunuh dalam tempoh tiga hari.

“Kami biasanya menunggu atau membawa sasaran ke lokasi tersembunyi sebelum menembak mereka. Kami menembak mereka beberapa kali bagi memastikan mereka mati,” kata Ace dalam wawancara yang akan disiarkan malam ini.

Ace memberitahu, mereka terpaksa menjadi pembunuh upahan kerana tiada pekerjaan lain untuk menyara keluarga.

“Pada mulanya saya bimbang tetapi sekiranya saya tidak melakukan ‘pekerjaan’ ini saya mungkin tidak mampu memberi keluarga saya makan.

“Selepas terbabit dalam aktiviti ini saya tidak boleh berhenti atau melanggar arahan kerana bimbang kami pula yang mungkin dibunuh,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 10:28 AM