SYAZWAN (dua kanan) mengekang pergerakan pemain FELDA.
SYAZWAN (dua kanan) mengekang pergerakan pemain FELDA.
Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Kedah menamatkan saingan Liga Super 2016 musim ini dengan nota ceria apabila menewaskan FELDA United 1-0 di Stadium Darul Aman malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Helang Merah mengumpul 37 mata dan kekal di tangga ketiga Liga Super sementara FELDA United di tangga kedua dengan 43 mata.

Tuan rumah mula menyerang seawal minit keempat namun tendangan Syazwan Zainon berjaya didakap penjaga gol pelawat Mohd Farizal Harun.

Selepas itu, kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan bagi memburu gol.

Muhd Hadin Azman nyaris meletakkan pelawat di depan namun rembatannya sekadar singgah di palang dan Lutfulla Turaev yang tampil membantu, turut gagal menyempurnakan rembatan apabila tersasar ke kiri gawang tuan rumah.

Kedah turut memperoleh peluang menjaringkan gol pada minit ke-20 namun tandukan Thiago Augusto melepasi palang gol.

Cubaan Syawan sembilan minit kemudian turut tersasar sekali gus mengecewakan penyokong setia Helang Merah.

Bermula separuh masa kedua, pelawat nyaris memperoleh gol namun jaringan Zah Rahan Krangar minit ke-55 dibatalkan kerana ofsaid.

Jaringan yang dicari Kedah akhirnya muncul pada minit ke-81 menerusi Shane Smeltz Edward selepas menerima hantaran Liridon Krasniqi.

Helang Merah akan bertemu Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia 30 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:19 AM