PENGUNJUNG berpeluang menikmati madu lebah kelulut.
PENGUNJUNG berpeluang menikmati madu lebah kelulut.
PENGUNJUNG boleh mendapatkan maklumat berkaitan MARDI.
PENGUNJUNG boleh mendapatkan maklumat berkaitan MARDI.
MOHD Ridzuan melihat pameran di Taman Teknologi Agro MARDI, Cherating.
MOHD Ridzuan melihat pameran di Taman Teknologi Agro MARDI, Cherating.
PENGUNJUNG melihat biri-biri jenis Dorper.
PENGUNJUNG melihat biri-biri jenis Dorper.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Taman Teknologi Agro Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cherating dekat Kuantan yang akan beroperasi sepenuhnya Mei tahun depan bakal menjanjikan destinasi agropelancongan terkemuka di negara ini.

Pengunjung berpeluang melawat lima lokasi iaitu laman tamu, laman fertigasi, laman kelulut, laman ternakan dan laman belimbing.

Pengarah MARDI Pahang Mohd Ridzuan Mod Saad berkata, dengan kos lebih RM5 juta, Taman Teknologi Agro MARDI Cherating yang ketiga dimajukan selepas Langkawi, Kedah dan Cameron Highlands.

Beliau berkata, laman tamu menyediakan 10 gerai jualan pelbagai produk makanan keluaran usahawan MARDI, cenderahati dan restoran termasuk kemudahan infrastruktur.

“Laman ternakan biri-biri Dorper berada dalam ladang kelapa dan pengunjung juga dapat melihat aktiviti mengambil nira kelapa serta mesin memproses sabut kelapa.

“Bagi yang ingin merasai keenakan air kelapa pandan segar yang ditanam di tanah berpasir, mereka boleh mendapatkannya di gerai kelapa dalam kawasan kebun dengan harga berpatutan.

“Kawasan kebun kelapa turut menempatkan petak kurungan anak biri-biri Dorper dan zoo arnab mini untuk memberi peluang kepada pengunjung memberi makan dan bergambar,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata, pengunjung boleh ke laman belimbing dan laman fertigasi yang menempatkan beberapa jenis sayuran termasuk anggur hijau dan hitam.

“Untuk mendapat maklumat berkaitan MARDI, pengunjung boleh ke bilik pameran yang menyediakan pelbagai informasi dan produk makanan keluaran usahawan MARDI.

“Pantai Cherating yang terletak dalam kawasan pembangunan projek berkenaan turut menjadi lokasi aktiviti perkelahan dan berehat bersama keluarga,” katanya.

Menurutnya, untuk kemudahan pelancong, pihak pengurusan turut menyediakan kakitangan yang akan menjadi pemandu pelancong setiap kali tetamu berkunjung.

“Selain pusat agro pelancongan, Taman Teknologi Agro MARDI Cherating turut menjadi gedung ilmu kepada pelajar dan peserta kursus berkaitan tanaman dan ternakan biri-biri Dorper.

“Kita juga membuka peluang kepada pihak yang berminat menganjurkan kursus apabila semua kemudahan seperti asrama disediakan secara berperingkat yang dibahagikan kepada beberapa fasa,” katanya.

Mereka yang berminat mengunjungi Taman Teknologi Agro MARDI Cherating boleh menghubungi talian 09-5818180.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 10:28 AM