ANGGOTA mencari dan menyelamat (SAR) memantau lokasi kejadian di Pantai Chenang. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA mencari dan menyelamat (SAR) memantau lokasi kejadian di Pantai Chenang. FOTO ihsan Bomba
Hamzah Osman


Langkawi: Remaja lelaki dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus,manakala dua rakannya terselamat ketika mandi di Pantai Chenang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.35 petang itu,mangsa yang hilang dikenali sebagai Max Ng Yik Hang, 18, berasal dari Taman Selayang Jaya, Batu Caves, Selangor.

Dua mangsa yang terselamat pula ialah Jack Fong Tai Yung, 15, dari Damansara dan Sow Zu Hui, 16, dari Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fazdlullah Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.54 petang dan 13 anggota dihantar ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Berdasarkan maklumat awam, tiga mangsa sedang mandi di Pantai Chenang sebelum mereka dihanyutkan arus ke tengah laut.

"Ekoran itu, dua mangsa diselamatkan oleh orang awam, manakala seorang masih hilang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini mangsa belum ditemui pasukan SAR dan kerja-kerja mencari sedang dijalankan.

"Operasi SAR turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pekerja pantai.

"Jika situasi ini (mangsa tidak ditemui) dan keadaan gelap operasi SAR akan ditangguhkan pada 7.30 malam dan disambung semula esok pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 7:42 PM