(Dari kiri) Edrie, Ajai, Rossa, Noraniza dan Awie pada Sidang Media 3 Juara. FOTO NSTP/AZIAH AZMEE
(Dari kiri) Edrie, Ajai, Rossa, Noraniza dan Awie pada Sidang Media 3 Juara. FOTO NSTP/AZIAH AZMEE
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bagi mengimbau kegemilangan Anugerah Juara Lagu (AJL) sebelum ini, TV3 tampil dengan program realiti terbaru 3 Juara yang mula bersiaran Ahad ini.

Program ini menampilkan tiga penerbit dari genre muzik berbeza iaitu Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah bagi kategori irama Malaysia, Ajai (balada) dan Edrie Hashim (rock).

Seramai 24 peserta bakal bertanding bagi merebut gelaran juara yang bakal membawa pulang wang tunai RM50,000 bagi setiap kategori.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Penjenamaan dan Rancangan TV3 dan TV9, Zurina Othman berkata, konsep program ini adalah mengimbau kegemilangan AJL terdahulu di mana lagu-lagu bertanding mengikut kategori.

"Tiga kategori ini dipilih berdasarkan populariti genre muzik itu dalam kalangan masyarakat. Dengan adanya tunjuk ajar tiga penerbit ini, kami yakin program ini mampu melahirkan pelapis berkualiti.

"Setiap minggu menyaksikan peserta dari setiap kategori bertanding sesama mereka. Peserta yang mendapat markah terendah daripada undian penonton dan juri tetap akan tersingkir," katanya.

Selain tiga penerbit itu, 3 Juara turut menampilkan tiga penyanyi popular sebagai juri tetap yang mewakili tiga kategori iaitu Awie untuk muzik rock, Datuk Rossa (balada) dan Noraniza Idris (irama Malaysia).

3 Juara turut dimeriahkan dengan gandingan tiga pengacara terdiri daripada Mira Filzah, Ammar dan Issey Titan.

Lagu tema bagi program ini dinyanyikan Dayang Nurfaizah berjudul Ciptaan Yang Teramat Indah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 6:32 PM