FAHMIE menunjukkan pokok buah tin.
FAHMIE menunjukkan pokok buah tin.
 DAUN pokok tin dijadikan serbuk teh.
DAUN pokok tin dijadikan serbuk teh.
FAHMIE menunjukkan produk yang dikeluarkan syarikatnya.
FAHMIE menunjukkan produk yang dikeluarkan syarikatnya.
Mohamad Hussin


Siapa sangka bermula sebagai hobi menanam cili di belakang rumah mendorong lelaki ini beralih arah ke tanaman pokok tin.

Ini kerana kelebihan buah tin yang tercatat dalam al-Quran menarik minat Fahmie Abu Bakar, 37, menanamnya secara komersial di ladangnya di Sungai Ramal, Kajang.

Selepas lebih tiga tahun mengusahakan tanaman itu, dia kini mempunyai lebih 2,500 pokok tin membabitkan 50 jenis.

Beliau yang sebelum ini bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terpaksa melepaskan jawatan kerana minat mendalam terhadap bidang pertanian, selain tidak cukup masa bersama keluarga.

Bertitik tolak dari situ, beliau membuka sebuah kedai menjual peralatan pertanian dengan menubuhkan syarikat Formeniaga pada tahun 2009 dengan berniaga secara dalam talian.

Selepas beberapa tahun membuka kedai itu, dia terfikir apakah tanaman yang boleh diusahakan bagi mengembangkan perniagaannya.

“Buat permulaan modal untuk membuka kedai pertanian sebanyak RM10,000. Sepanjang berniaga peralatan dan produk pertanian, saya kumpul duit untuk menanam pokok tin.

“Saya nampak potensi pokok tin sangat cerah kerana ia makanan sunah. Saya banyak mendapatkan maklumat mengenai pokok tin di Internet termasuk media sosial seperti Facebook.

“Saya sanggup ‘terbang’ ke beberapa negara seperti Jepun, China, India dan Thailand untuk mengutip ilmu sebanyak mungkin bagi diadaptasikan apabila balik ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di kedainya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Fahmie yang juga pengurus Formeniaga berkata, selepas beberapa tahun membuat kajian mengenai pokok tin, akhirnya dia nekad mengusahakan tanaman itu dengan mengimport anak benih dari Indonesia, Turki, Amerika Syarikat dan Thailand.

“Buat masa ini, lebih 50 jenis pokok tin sudah ditanam, antaranya Matsui Dauphine, Brown Turkey (BT), Brown Turkey Modified 6 (BTM 6), Taiwan Golden Fig (TGF), Rimada, Turka dan Ponte Teresa.

“Pokok tin boleh dibiak menerusi keratan batang, kaedah tut berakar dan menggunakan kaedah in vitro atau tisu kultur.

Paling mudah untuk menggandakan pokok ini atau nama saintifiknya Ficus carica ialah menerusi keratan batang.

“Dalam tempoh tiga hingga enam bulan, ia menghasilkan buah. Pokok tin memerlukan cahaya matahari cukup dan keadaan kering untuk tumbuh subur,” katanya yang mempunyai 15 pekerja.

Menurutnya, tanaman ini tidak sesuai diletak di bawah naungan tanaman lain. Akar pokok tin tidak tahan jika terendam air terlalu lama hingga boleh menyebabkan pokoknya mati. Tetapi ia memerlukan air yang cukup. Pokok tin juga perlu sentiasa dibekalkan baja secukupnya.

“Walaupun pokok ini ada 2,000 jenis, tidak semua sesuai ditanam di negara ini. Benih pokok tin dijual antara RM80 hingga RM12,000 mengikut saiz dan jenis pokok.

“Ia mempunyai pelbagai khasiat termasuk untuk penyakit diabetes selain daunnya saya gunakan untuk diproses menjadi teh. Saya turut menghasilkan produk lain berasaskan buah tin, antaranya buah segar, jem, acar dan ais krim,” katanya.

Syarikat Formeniaga turut menganjurkan kursus asas memanam pokok tin, kursus fertigasi dan pengurusan ladang kepada mereka yang berminat menceburi bidang pertanian.

Mendapat maklumat lanjut boleh layari Facebook Formeniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 12:52 PM