ANTARA pokok buah tin yang ditanam di rumahnya di Jitra, Kedah.
ANTARA pokok buah tin yang ditanam di rumahnya di Jitra, Kedah.
Oleh Mohamad Hussin

“Saya mula meminati bidang pertanian ini selepas menemui komuniti dalam media sosial, Facebook berkenaan penanaman pokok tin.

“Hingga kini, saya sudah melabur kira-kira RM100,000 untuk semua tanaman pokok tin di empat kawasan di Jalan Langgar, Padang Terap, Bukit Wang termasuk di rumah saya di Jitra, Kedah,” kata bekas jurutera, Zulkhairi Kassim, 49.

Beliau berhasrat menanam pokok tin di kawasan rumahnya sebagai simbolik taman syurga buat arwah anaknya, Ammani Hananni, 17, yang meninggal dunia akibat leukemia lebih setahun lalu.

“Saya sanggup meninggalkan kerjaya sebagai jurutera kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada anak kedua yang menderita penyakit leukemia ketika itu.

“Selepas pemergian arwah, hidup saya sudah hilang arah lalu mencari sesuatu sebagai rawatan psikologi dan kepuasan hati,” katanya yang ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Menurutnya, selepas bergiat aktif dalam komuniti Tin Malaysia di Facebook, dia mula meminati bidang pertanian berkenaan.

“Ketika itu benih pokok tin tidak terdapat di negara ini hingga seorang rakan dalam komuniti itu mendapatkan benih dari Eropah dan Asia Barat.

“Kemudian, saya membeli tiga pokok tin melalui Facebook dan eBay pada RM70 sebatang pada Ogos 2013,” katanya yang bergiat aktif bersama lebih 1,000 komuniti pokok itu di Facebook.

Dari situ, Zulkhairi berkata, beliau berjaya menggandakan induk pokok tin menggunakan dahan sebelum berkembang hingga mampu mewujudkan tapak semaian seluas kira-kira 0.2 hektar di kawasan rumahnya.

Beliau berkata, di rumahnya saja terdapat 160 pokok yang digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (P&P) serta bahan bagi proses pembenihan, selain 130 pokok di tapak semaian di Jalan Langgar dan Padang Terap sebanyak 200 pokok.

“Pokok tin menghasilkan pendapatan lumayan apabila buahnya dijual hingga RM80 sekilogram dan mampu memperoleh hingga 400 kilogram buah tin melalui penanaman tumbuhan itu di Bukit Wang, Jitra.

“Bagi sebatang pokok, modal yang harus dikeluarkan adalah kira-kira RM160 untuk baja dan dahan,” katanya.

Zulkhairi berkata, lebih 50 jenis pokok tin sudah diusahakannya, namun bagi tujuan pasaran hanya ada beberapa jenis mendapat permintaan termasuk Japan BTM, Black Mission, Green Jordan, Black Jack dan Brown Turkey.

Selain itu, katanya, proses P&P terus dijalankan apabila beliau bercadang menghasilkan teh daripada daun tin secara komersial.

Kerjasama dijalankan antara Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi tujuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 12:54 PM