ANTARA pelajar yang hadir untuk 'Malaysian Night' anjuran MSSM.
ANTARA pelajar yang hadir untuk 'Malaysian Night' anjuran MSSM.
PELBAGAI acara sukan sering dijalankan bertujuan mengeratkan hubungan.
PELBAGAI acara sukan sering dijalankan bertujuan mengeratkan hubungan.
SAMBUTAN perayaan disambut semua pelajar Malaysia tanpa mengira bangsa.
SAMBUTAN perayaan disambut semua pelajar Malaysia tanpa mengira bangsa.
SESI perkenalan pelajar baru.
SESI perkenalan pelajar baru.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Berada di perantauan sememangnya menguji kekuatan fizikal dan mental seseorang apabila tanpa keluarga tercinta di sisi namun bantuan serta sokongan rakan terutama dari Malaysia sedikit sebanyak mengurangkan rasa rindu pada kampung halaman.

Bagi mendalami fungsi dan menyingkap landskap sosial remaja Malaysia di luar negara, penulis berhubung dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia di Manchester atau lebih dikenali Malaysian Student‘s Society of Manchester (MSSM), baru-baru ini.

Presidennya, Faizul Zuraimi berkata, kekuatan MSSM yang sentiasa dipegang adalah keharmonian dan semangat bersatu padu tanpa mengira bangsa.

“Bilangan rakyat Malaysia di sini kecil jadi setiap daripada kami sudah dianggap seperti keluarga sendiri dan MSSM umpama keluarga besar.

“Bukan dulu dan kini saja tapi kesepaduan yang sudah lama wujud dalam setiap pelajar Malaysia di sini bakal berterusan kerana kami sentiasa mendokong dan membantu antara satu sama lain,” katanya.

Lebih 1,000 ahli persatuan yang berdaftar di bawah MSSM rata-rata terdiri daripada remaja yang menuntut di universiti sekitar Manchester seperti University of Manchester, Manchester Metropolitan University dan University of Salford.

Menurut Faizul, bagi mempromosikan keharmonian dan perpaduan sebagai rakyat Malaysia, setiap aktiviti, perjumpaan dan acara anjuran MSSM disertai hampir semua pelajar Malaysia tanpa mengira bangsa.

“Sebagai contoh untuk sambutan Deepavali, penganjuran dan sasaran peserta tidak terhad kepada pelajar India saja tapi semua boleh sertai.

“Di sini, kita juga dapat lihat pelajar berbangsa Cina mempersembahkan tarian Melayu manakala pelajar India mencuba dikir barat yang jarang sekali dapat kita lihat dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Kata Faizul, MSSM pernah menganjurkan sambutan diberi nama ‘Deeparaya’ iaitu gabungan sambutan Deepavali dan Aidiladha bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar Malaysia.

“Bagi sambutan Deepavali yang bakal berlangsung hujung bulan ini, kami bakal mengadakan perhimpunan pada 26 Oktober dengan menjemput Persatuan Tarian India dan Persatuan Pelajar India di Manchester untuk sambut perayaan itu bersama-sama pelajar Malaysia,” katanya.

Selain itu, MSSM turut menganjurkan acara sukan antaranya futsal, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan badminton bagi mengeratkan hubungan dan menambahkan aktiviti pelajar.

Faizul turut berkongsi kemeriahan musim bola di Manchester kerana pelajar Malaysia gemar dan kerap berkunjung ke stadium bagi menyaksikan perlawanan tambahan pula harga tiketnya murah.

“Musim bola memang meriah kerana kami berpeluang menyaksikan perlawanan depan mata dan ini pengalaman sukar diperoleh sekiranya tidak belajar di sini jadi kami manfaatkan peluang yang ada.

“Dari segi penyokong pula, tidak semua pelajar Malaysia menyokong kelab bola dari Manchester namun tidak kira kelab mana jadi pilihan, yang penting sokongan diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 12:14 PM