CIKGU Faizul (empat dari kanan) bersama cikgu PTTI lain.
CIKGU Faizul (empat dari kanan) bersama cikgu PTTI lain.

Kurang membaca, lebih banyak menggunakan media sosial dan fokus pada mata pelajaran tertentu antara masalah yang sering dihadapi pelajar dalam menguasai tatabahasa bahasa Melayu dengan betul.

Menyedari perkara itu, pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI melancarkan kelas pembelajaran dalam talian secara percuma untuk mata pelajaran bahasa Melayu.

Kelas percuma yang terbuka kepada semua pelajar tahun enam hingga tingkatan lima itu bakal dibimbing Muhammad Faizul Abd Hamid atau lebih mesra disapa Cikgu Faizul.

Menurut Cikgu Faizul, sejak dulu pelajar terdedah kepada banyak kesalahan tatabahasa hingga menyebabkan mereka sudah biasa melakukan kesalahan sama berulang kali.

"Antara kesalahan tatabahasa yang sering dilakukan ialah penggunaan kata pemeri 'ialah' dan 'adalah,' kata 'ianya' dan sebagainya.

"Lama-kelamaan, norma kesalahan tatabahasa ini menjadi kitaran budaya yang 'bobrok.' Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk membantu memperbetulkan masalah ini.

"Selain mengajarkan tatabahasa yang betul dalam kelas, saya juga akan berkongsi tip dan formula mengenai penggunaan tatabahasa menerusi media sosial supaya proses pembelajaran serta pengajaran menjadi lebih santai selain dekat dengan jiwa orang muda," katanya.

Cikgu Faizul berkata, kini pelajar banyak menghabiskan masa dengan media sosial, sekali gus membuatkan mereka kurang membaca surat khabar atau bahan bacaan lain yang sarat isu semasa.

"Isu semasa adalah perkara sangat penting untuk pelajar memperoleh kosa kata baharu dan menjana idea apabila menulis karangan.

"Jadi, saya mempunyai tanggungjawab besar membantu pelajar menulis karangan dengan mengaitkan isu semasa dalam kelas seperti isu inflasi, penyakit berjangkit, pelancongan, perubatan, industri revolusi 4.0 dan sebagainya.

"Untuk memudahkan pelajar, perbincangan ini turut akan disertakan dengan formula membina ayat seperti PerMaSA, IMBaKUP dan KPCH," katanya.

Ada juga segelintir pelajar aliran sains menganggap subjek elektif seperti kimia, fizik, matematik tambahan dan biologi susah.

Keadaan ini kata Cikgu Faizul, menyebabkan pelajar lebih banyak menghabiskan masa dengan membuat latihan bagi subjek berkenaan menyebabkan subjek bahasa Melayu dipandang mudah.

"Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila ada pelajar yang menganggap bahawa Bahasa Inggeris adalah proksi kepada kepandaian dan status. Oleh itu, mereka lebih mementingkan subjek bahasa Inggeris," katanya.

Terdahulu, Cikgu Faizul bersama enam guru baharu PTTI diraikan dalam Majlis Pelancaran 'PTTI 360° New Teacher, More Subjects.'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 11:25 AM