Mayat lelaki yang ditemui dengan tiga kesan tetakan pada kepala di Jalan Batu 3, berhampiran Jalan Paloh-Yong Peng, tengah hari semalam. FOTO ihsan PDRM
Mayat lelaki yang ditemui dengan tiga kesan tetakan pada kepala di Jalan Batu 3, berhampiran Jalan Paloh-Yong Peng, tengah hari semalam. FOTO ihsan PDRM
Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Mayat lelaki ditemui dengan tiga kesan tetakan di kepala di Jalan Batu 3, berhampiran Jalan Paloh-Yong Peng, di sini, tengah hari semalam.

Lelaki berusia 50 tahun berasal dari Taman Pantai itu ditemui dalam keadaan terbaring dan masih lengkap berpakaian pada 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di lokasi kejadian.

"Tiada kesan pergelutan atau senjata dijumpai ditempat kejadian dan polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk dibedah siasat," katanya.

Menurutnya, mangsa sebelum ini pernah dilaporkan hilang oleh isterinya iaitu pada Khamis lalu selepas dikatakan keluar memancing di Tanjung Laboh, di sini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 9:06 AM