FOTO Mohd Husni Mohd Noor
FOTO Mohd Husni Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor & Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Jenazah Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani yang meninggal dunia di Guangzhou, China pada 27 September lalu selamat tiba di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi.

Ketibaan jenazah disambut kira-kira 100 orang termasuk anak sulung dan kedua Allahyarham masing-masing Mohd Abdurrahman, 20, dan Mohd Haidar, 18, selain tiga adik Allahyarham iaitu Syed Mohd Fahitar, 42; Syed Mohd Firdaus, 39 dan Syed Mohd Fakharozi, 35, serta kenalan; anak murid dan saudara mara terdekat.

Seramai 28 orang termasuk anak dan adik beradik arwah dibenarkan memasuki ruang penyimpanan kargo bagi membantu memindahkan jenazah ke dalam van jenazah.

Sementara itu, Mohd Haidar ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana jenazah bapanya selamat tiba di tanah air.

Menurutnya, dia dan keluarga mengucapkan terima kasih terutama kepada Kementerian Luar kerana banyak membantu dalam urusan mempercepatkan proses dokumentasi dan bawa pulang jenazah dari Guangzhou ke Kuala Lumpur.

"Bagi yang ingin memberi penghormatan terakhir, arwah akan di bawa ke Masjid Seri Petaling untuk solat jenazah selepas solat Subuh sebelum di bawa ke Masjid Jamek, Kampung Baru.

"Jenazah kemudian akan di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda, Gombak dan dijangka dikebumikan sebelum solat Zohor hari ini," katanya.

Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli meninggal dunia akibat serangan jantung di Guangzhou, China pada 27 September lalu.

Difahamkan, jenazah sudah selesai dimandikan dan dikafankan pada 30 September lalu di Guangzhou, China.

Bagi yang belum mengenali, Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli adalah penceramah mingguan di radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) selaian pakar rujuk bidang fekah.

Allahyarham juga adalah pengerak utama dalam penubuhan Gabungan Persatuan Institusi Pelajar Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Harian Metro juga difahamkan, arwah turut memiliki lebih 15 pusat Tahfiz di seluruh negara termasuk di Selatan Thailand.

Allahyarham sepatutnya pulang ke tanah air pada 28 September lalu dan kunjungan ke Guangzhou antara lain bagi mengembangkan pusat tahfiz di wilayah berkenaan.

Sebelum ini, ahli keluarga arwah dikatakan berhasrat untuk mengebumikan jenazah di Guangzhou namun, kerajaan China tidak membenarkan berikutan peraturan ditetapkan negara itu sejak 20 tahun lalu yang tidak membenarkan warga asing dikebumikan di sana.

Allahyarham meninggalkan empat balu dan 17 orang anak masing-masing berusia antara dua bulan hingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 1:57 AM