Mohd Abdurrahman kelihatan sedih selepas mengimamkan solat jenazah ayahnya di Masjid Jamek Kg Baru. FOTO Yazit Razali
Mohd Abdurrahman kelihatan sedih selepas mengimamkan solat jenazah ayahnya di Masjid Jamek Kg Baru. FOTO Yazit Razali
Nurul Huda Kosnon


Gombak: Mahu anak sulung, Mohd Abdurrahman Syed Mohd Fadzli belajar mengaji di pusat tahfiz di Sri Lanka dan jagalah anak-anak dengan baik.

Itu pesanan terakhir Allahyarham Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani kepada isteri pertamanya, Mashitoh Abdul Hamid, 37.

Mashitoh berkata, pesanan itu disampaikan sebelum pemergian Allahyarham suaminya ke China bersama rombongan jemaah lain untuk bertemu tokoh ilmuan Islam.

"Insya-Allah, saya akan memastikan pesanan arwah suami dilaksanakan sebaiknya terutama menghantar anak sulung belajar di Sri Lanka.

"Saya bersama tiga isteri Allahyarham suami juga akan bekerjasama meneruskan dan mengekalkan pusat tahfiz sedia ada yang diasaskan suami sebelum ini serta mengembangkan pusat tahfiz ke beberapa lokasi lain terutama di China," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudatus Sakinah, Taman Batu Muda.

Hasil perkongsian hidup Mashitoh dengan Syed Mohd Fadzli, mereka dikurniakan sembilan anak.

Katanya, dia tidak menduga suaminya menghidap penyakit jantung.

"Allahyarham sebelum ini hanya mengadu mengenai penyakit kencing manis saja. Tak sangka semua ini berlaku," katanya.

Menurutnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit terutama menguruskan jenazah suaminya yang tiba di tanahair kira-kira 12.15 tengah malam tadi.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar di mana saya memang memutuskan dan mahu arwah suami dikebumikan di sini," katanya.

Syed Mohd Fadzli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatus Sakinah, Taman Batu Muda, pada 11.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 4:22 PM