Ustaz Syed Mohd Fadzli
Ustaz Syed Mohd Fadzli
Muhammad Saufi Hassan

 

 

 

Kuala Lumpur: Penceramah mingguan radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan salah seorang pakar rujuk bidang fekah Ustaz Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani meninggal dunia akibat serangan jantung di China, tengah malam tadi.

Allahyarham sudah berada di China sejak 21 September lalu dan tiba di Guangzhou dari Lanzhou 12.30 pagi (waktu Malaysia) sebelum rebah ketika menunggu bas untuk pergi ke hotel dipercayai serangan jantung.

Arwah mengadakan lawatan di negara berkenaan bersama 27 jemaah rombongan lain untuk berjumpa dengan tokoh ilmuwan Islam dan dijadualkan pulang ke Malaysia esok.

Anak sulungnya yang turut bersama dalam lawatan itu, Muhammad Abdurrahman memaklumkan arwah jatuh di lapangan terbang ketika menunggu bas dan sejurus kemudian disahkan meninggal dunia.

“Hasrat kami untuk kebumikan jenazah di Guangzhou namun kerajaan China tidak membenarkan. Ini kerana peraturan sejak 20 tahun lalu tidak membenarkan warga asing dikebumikan di negara itu.

“Antara isu lain yang timbul adalah, pejabat-pejabat di sini akan bermula cuti selama 10 hari. Bermula hari Sabtu, cuti hari kebangsaan, jadi tidak akan ada berlaku urusan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, beliau berhasrat membawa pulang jenazah bapanya selewat-lewatnya Jumaat ini memandangkan urusan dokumentasi begitu rumit dan agak lama untuk diselesaikan.

Menurutnya, pihak keluarga mengucapkan penghargaan kepada pejabat kedutaan Malaysia yang bersusah-payah memberi penerangan dan menguruskan segala berkaitan.

“Saya harap jenazah baba (arwah Syed Mohd Fadzli) dapat dikebumikan secepat mungkin. Doakan semoga urusan kami dipermudahkan,” katanya.

Arwah juga antara pakar rujuk serta penggerak utama dalam penubuhan Gabungan Persatuan Institusi Pelajar Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Allahyarham memiliki lebih daripada 15 pusat tahfiz di seluruh negara termasuk di Selatan Thailand dan lawatannya ke Guangzhou antara lain untuk mengembangkan pusat tahfiz di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 1:02 PM