TERTUDUH di Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Pemandu lori didakwa atas lima pertuduhan pelbagai kesalahan berkaitan sokongan kepada kumpulan pengganas di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Syed Amir Asyraf Syed Hamdan, 20, dituduh melakukan kelima-lima pertuduhan itu di rumah di alamat Lot 5090, Kampung Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi dalam tempoh yang berbeza.

Untuk pertuduhan pertama, tertuduh melakukan kesalahan itu antara 6 Mac hingga 27 Ogos lalu dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas iaitu Daish dengan menggunakan Facebook atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) (green birds of jannah).

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan antara 16 Ogos hingga 27 Ogos melalui aplikasi Telegram atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melakukan perbuatan pengganas menggunakan bom tangan, sepucuk pistol dan 24 butir peluru.

Seterusnya, Syed Amir Asyraf dituduh melakukan kesalahan antara 6 Mac hingga 27 Ogos lalu dengan pengetahuan menggalakkan keahlian di dalam kumpulan pengganas melalui aplikasi WhatsApp atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) (green birds of jannah).

Untuk pertuduhan keempat, dia dituduh melakukan kesalahan pada 1.27 tengah hari 27 Ogos lalu, memiliki gambar dan video berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas Daish.

Pertuduhan kelima ialah tertuduh melalukan kesalahan antara 9 Januari hingga 27 Ogos lalu dengan niat melakukan suatu perbuatan pengganas membabitkan diri untuk melakukan serangan melalui perbualan dalam aplikasi WeChat atas nama Abu Syed Malizi (bertulisan jawi) dan atas nama WeChat ID abu430 sebagai persediaan ke arah itu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh manakala, Timbalan Pendakwa Raya Ching Heng Kher memohon kepada mahkamah supaya kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib menetapkan 26 Oktober depan bagi sebutan kes.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan iaitu memiliki sebutir bom tangan, sepucuk pistol dan 24 butir peluru hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 11:24 AM