Amirsham  (tengah) dan    Tajuddin   (hadapan tiga dari kanan)  bersama  sebahagian wakil persatuan dan wakil pusat    selepas majlis penyampaian sumbangan cek,   semalam.
Amirsham (tengah) dan Tajuddin (hadapan tiga dari kanan) bersama sebahagian wakil persatuan dan wakil pusat selepas majlis penyampaian sumbangan cek, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menyasarkan jumlah tawaran awam permulaan (IPO) akan meningkat pada tahun ini berbanding sembilan IPO yang dicapai pada tahun lalu bergantung pada keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, sejak awal tahun sehingga September ini, tujuh IPO disenaraikan di Bursa Malaysia dan pihaknya mempunyai beberapa lagi IPO untuk penyeraian sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, pada 2015 pihaknya menyaksikan sembilan IPO disenaraikan dan yakin mencapai peningkatan atau kekal sama dengan angka tahun lalu.

“Jumlah IPO juga bergantung kepada keadaan pasaran tetap. Kami sentiasa memastikan persekitaran untuk meraih modal sentiasa tersedia.

“IPO agak lemah dan sehingga kini hanya tujuh IPO manakala daripada segi nilai kami menjangkakan ia lebih rendah,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan cek bagi program amal yang diraih melalui Bursa Bull Charge 2016, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham A Aziz.

Bursa Bull Charge 2016 yang dianjurkan buat kali ketiga itu meraih sumbangan RM2.1 juta yang disalurkan kepada 37 pertubuhan kebajikan dan benefisiari berdasarkan matlamatnya untuk menyumbang kepada penduduk di seluruh negara.

Antara pertubuhan kebajikan yang terbabit adalah Pusat Inkubator Jahitan Orang Asli Gerik, Rumah Anak Yatim Tambunan Sabah, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Pertubuhan Kebajikan Al-Kausar Bangi.

Sementara itu, mengulas mengenai sentimen pasaran berikutan pengumuman Bank of Japan (BOJ) untuk mengubah polisi kewangan, Tajuddin berkata, keadaan pasaran kelihatan tidak menentu dan banyak pengaruh luaran yang memberi impak kepada pasaran global.

“Itu pengaruh luaran, tanpa input baru, pasaran domestik atau serantau, perkara itu memberi kesan kepada pasaran kita untuk jangka panjang,” katanya.

Katanya, bagi pasaran domestik, pasaran Malaysia kekal stabil dan berada pada asas kukuh meliputi tadbir urus dan pengurusan pasaran lebih menyeluruh serta dijangka mendapat nilai baik untuk tempoh jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 6:27 AM