Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki senior lelaki negara Stephen Van Huizen mengesahkan dua pemain utama, Muhammad Razie Abd Rahim (gambar) serta Nabil Fiqri Mohd Noor tidak akan menyertai skuad negara pada saingan Liga Hoki Australia yang bakal bermula dari 29 September hingga 9 Oktober depan.

Malah belum ada kepastian sama ada kedua-dua pemain itu untuk beraksi pada saingan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, bermula 20 Oktober kerana kedua-duanya perlu mendapatkan pelepasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Razie yang juga kapten kebangsaan serta Nabil sedang menjalani kursus latihan asas PDRM selama sembilan bulan.

“Saya tidak mahu komen banyak mengenai kedua-dua pemain ini. Tapi sekiranya mereka dapat pelepasan PDRM dengan mengambil kira kepentingan negara, sudah tentu saya mahu mereka berdua bermain di Trofi Juara-Juara Asia.

“Ketika ini masih ada baki kira-kira 18 pemain yang tidak pergi ke Australia dan menjalani latihan untuk menghadapi Piala Sultan Johor.

“Jadi jika dapat pelepasan dari PDRM, kedua-dua pemain itu akan menyertai sesi latihan bersama mereka.

“Apapun daripada segi peraturan, Razie dan Nabil memang tidak dibenarkan untuk bermain di luar negara,” kata Stephen pada sidang media semalam.

Tiga pasukan negara iaitu skuad utama dan pembangunan lelaki serta skuad wanita negara akan menyertai Liga Hoki Australia, satu pendekatan baru Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam mempersiapkan pasukan layak ke Piala Dunia 2018 dan Sukan Olimpik 2020.

Selain Malaysia, pasukan lelaki India dan New Zealand turut menyertai liga itu.

Bagi Stephen, saingan itu adalah peluang terakhir untuknya memilih 18 pemain terbaik untuk mewakili negara beraksi di Trofi Juara-Juara Asia, kejohanan utama skuad lelaki negara musim ini.

“Ini peluang terakhir untuk melihat prestasi setiap pemain sebab sebelum ini mereka dilepaskan bagi menghadapi Liga Hoki Malaysia.

“Tidak bermakna jika anda berada dalam skuad utama, tempat sudah terjamin untuk beraksi di Trofi Juara-Juara Asia.

“Barisan pemain dalam skuad pembangunan kendalian Wallace Tan juga mempunyai peluang yang sama.

“Kami akan melihat prestasi setiap pemain di Australia sebelum memilih 18 pemain terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:44 AM