ANGGOTA polis mengangkat mayat wanita yang ditemui dalam rumah teres dua tingkat. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis mengangkat mayat wanita yang ditemui dalam rumah teres dua tingkat. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Seorang wanita maut manakala seorang lagi tidak sedarkan diri selepas terhidu asap arang berlebihan di rumah di Juru, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, rakan serumah mangsa, Ng Hooi Char, 29, menemui mayat mangsa, Gan Mooi Hoay, 34, terlantar di bilik air bawah premis dua tingkat berkenaan bersama seorang lagi rakan serumahnya, Tan Yooi Hooi, 22 yang tidak sedarkan diri.

Sumber berkata, Hooi Char terbau asap arang yang kuat di dalam bilik yang berkunci dari dalam sebelum membukanya menggunakan kunci pendua.

Katanya, dia juga sukar membuka pintu bilik air kerana ia dilekatkan dengan pita pelekat.

"Selepas beberapa minit, pintu bilik air berjaya dibuka sebelum dia menemui dua rakannya itu terbaring atas lantai tidak sedarkan diri.

"Dia kemudian menghubungi pihak berkuasa memaklumkan perkara berkenaan," katanya.

Sebaik sahaja ambulans tiba, Mooi Hoay disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi tidak sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid mengesahkan kejadian dan mangsa maut akibat terhidu karbon dioksida berlebihan.

Beliau berkata, tiada tanda pergelutan di dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 4:15 PM