POLIS mengangkat mayat suspek. FOTO Amir Irsyad Omar
POLIS mengangkat mayat suspek. FOTO Amir Irsyad Omar
Oleh Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Polis tembak mati lelaki tempatan yang tiga jam sebelum itu menembak mati seorang lelaki di hadapan sebuah pusat hiburan di Bukit Mertajam, di sini, 5.35 pagi tadi.

Tiga jam sebelumnya berlaku pergaduhan di antara suspek dan mangsa Cheah Kwong Hoay, 30, di hadapan pusat hiburan Jalan Keranji, Taman Mutiara.

Sejurus selepas itu suspek kemudian mengeluarkan sepucuk pistol yang diselit di depan pinggang seluarnya sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah perut, dada dan tangan kiri mangsa.

Polis kemudian memburu suspek dan menemuinya bersembunyi dalam sebuah kontena di depot simpanan minyak kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata suspek melepaskan beberapa das tembakan kepada polis yang mengepung lokasi berkenaan sebelum berlaku tembak menembak.

Katanya, suspek kemudian ditembak mati dan hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol jenis Berreta yang digunakan bagi menembak mangsa sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 12:46 PM