RASHFORD (tengah) jaring gol tunggal United.
RASHFORD (tengah) jaring gol tunggal United.
AFP

London: Watford menambah derita Jose Mourinho apabila menundukkan Manchester United 3-1 di Vicarage Road malam tadi sekali gus menjadi kekalahan ketiga berturut-turut buat pelawat.

Anak buah Mourinho dikejutkan dengan jaringan pembukaan Etienne Capoue pada babak pertama dan walaupun Marcus Rashford menyamakan kedudukan selepas rehat, United terus longlai di hujung permainan.

Juan Camilo Zuniga kembali meletakkan Watford di depan ketika permainan berbaki tujuh minit sebelum penalti disempurnakan Troy Deeney menghadirkan kekalahan ketiga berturut-turut buat Mourinho dan situasi itu yang pertama baginya sejak bergelar jurulatih Porto pada 2002.

Senario itu juga menyaksikan United buat kali pertama tewas tiga perlawanan berturut-turut sejak jurulatih terdahulu Louis van Gaal mengalami empat kekalahan secara berturutan pada Disember tahun lalu.

Bagi menambah kesengsaraan United, kekalahan itu yang pertama buat mereka di tangan Watford dalam tempoh 30 tahun dengan tuan rumah akhirnya menamatkan catatan 11 kekalahan berturut-turut kepada gergasi Manchester itu.

Keputusan malam tadi menyaksikan United kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Liga Perdana Manchester City dan semua catatan menarik menerusi tiga kemenangan berturut-turut sejak dibimbing Mourinho, kini hilang entah ke mana.

Selepas tunduk kepada City, Feyenoord pada saingan Liga Europa dan kini Watford, tugas menanti Mourinho untuk membina semula imej United, kini menjadi semakin besar.

“Saya rasa kekalahan pertama yang kami alami sebelum ini memberi kesan dan situasi sukar buat pemain. Beberapa pemain kami mengalami kesukaran untuk menerima kekalahan itu,” kata Mourinho.

Rentak United mula goyah apabila penjaga gol David de Gea bertembung dengan Chris Smalling ketika mereka cuba mempertahankan gawang hasil hantaran lintang Sebastian Prodl.

Apabila bola yang sepatutnya mudah didakap de Gea terlepas ke kaki Odion Ighalo, penyerang Watford itu bertindak gopoh dan akibatnya peluang terhidang menerusi gawang yang sudah terbuka luas, gagal dimanfaatkan.

Paul Pogba sekali lagi bergelut untuk meletakkan dirinya pada nilai pembelian yang dibuat United dan satu-satunya peluang berjaya diciptanya adalah ketika melepaskan rembatan lencong yang gagal diselamatkan penjaga gol Watford Heurelho Gomes tetapi palang tuan rumah menjadi penghalang.

Kesilapan Anthony Martial membolehkan Miguel Britos merampas bola dan ketika benteng pertahanan United kelihatan semakin rapuh, Dryl Janmaat membuat hantaran kepada Capoue yang tidak dikawal sekali gus mudah memperdayakan de Gea untuk gol pertama.

United bangkit menyamakan kedudukan hasil serangan balas pantas pada minit ke-62 menerusi Rashford. Penggempur Sweden Zlatan Ibrahimovic hampir menambah gol kedua pelawat pada minit ke-78 tetapi tandukannya hasil hantaran lintang Marouane Fellaini berjaya ditepis Gomes.

Pergerakan United mula tidak teratur dan pada minit ke-83, Zuniga menghasilkan gol kedua pasukannya.

Tindakan Fellaini yang menjatuhkan Zuniga di dalam kotak penalti membawa padah apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Deeney pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 8:30 AM