SOPHIA  menunjukkan model Rumah Kluster 2 Tingkat yang ditawarkan   menerusi  Desiran Bayu.
SOPHIA menunjukkan model Rumah Kluster 2 Tingkat yang ditawarkan menerusi Desiran Bayu.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Petaling Jaya: Chester Properties Sdn Bhd, ejen jualan eksklusif Desiran Bayu menjangkakan sambutan yang sama untuk penjualan dan pendaftaran bagi perumahan fasa kelima dan keenam projek kediaman Desiran Bayu, sama seperti yang dicatatkan ketika jualan perumahan fasa pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Pengarah Urusannya, Sophia Chong berkata, projek terdahulu di bawah LBS Bina Group Bhd (LBS) merekodkan 100 peratus kadar pemilikan untuk fasa satu hingga tiga hanya dalam tempoh dua hari pelancarannya.

“Justeru, kami menjangkakan menerima sambutan sama untuk baki fasa yang ada dan kini kami sedang membuka pendaftaran bagi yang berminat untuk pembelian rumah fasa lima dan enam.

“Bagi projek perumahan Desiran Bayu ini, ia membabitkan 598 unit kediaman rumah teres dua tingkat, rumah berkembar dua tingkat dan rumah kluster dua tingkat di mana masing-masing mempunyai keluasan antara 1,280, 1,725, 1,742 hingga 2,194 kaki persegi,” katanya.

Menurutnya, rumah teres dua tingkat berkenaan mencatatkan 40 peratus pemilikan untuk pembeli rumah pertama berbanding yang lain memandangkan ia dijual pada harga mampu milik.

Desiran Bayu yang terletak di Puchong, Selangor adalah salah satu kawasan perumahan strategik memandangkan ia berdekatan dengan beberapa lokasi tumpuan termasuk 16 kilometer (km) dari Subang Jaya, 19km ke Putrajaya selain hanya 25km untuk menuju ke pusat beli-belah Mid Valley.

Ia yang dibangunkan diatas tanah berkeluasan 40.5 hektar membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai kira-kira RM400 juta turut dihubungkan dengan Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah dan Lebuhraya Maju.

Sophia Chong berkata, ke arah mewujudkan nilai kekeluargaan dan masyarakat yang positif, Desiran Bayu turut menyediakan persekitaran kondusif untuk rekreasi seperti taman permainan dan tasik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:02 AM