TAN Sri Lim Hock San (tengan) ketika melihat model projek pada majlis Pelancaran Kita @ Cybersouth di Cyberjaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
TAN Sri Lim Hock San (tengan) ketika melihat model projek pada majlis Pelancaran Kita @ Cybersouth di Cyberjaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Sofyan Rizal Ishak


LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju perbandaran terkemuka di negara ini melancarkan pembangunan perbandaran terbaharunya iaitu Kita@Cybersouth yang memiliki keluasan 256 hektar dan terletak di Cybersouth, Dengkil dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion.

Pembangunan perbandaran baharu yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan hingga 10 tahun itu membabitkan pembinaan rumah teres, rumah bandar, pangsapuri servis, kedai dan unit komersil.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lim Hock San berkata projek terbabit mampu memenuhi keperluan keluarga moden dan kehidupan bermasyarakat berikutan harga rumah yang ditawarkan adalah berpatutan.

“Kami percaya projek ini juga akan memenuhi permintaan bagi perumahan mampu milik yang kian meningkat dan menyokong agenda perumahan negara kerajaan,” katanya pada majlis pelancaran Kita@Cybersouth di sini, semalam.

Beliau berkata, fasa pertama dan kedua Kita@Cybersouth yang terdiri daripada 1,077 unit rumah teres dua tingkat dan rumah bandar dengan GDV RM496.9 juta itu mula dijual semasa pra-pelancaran bagi pembangunan perbandaran terbabit pada November tahun lalu.

Menurutnya, ia menyaksikan fasa pertama yang membabitkan sebanyak 379 unit rumah teres itu mencatatkan 95 peratus tempahan manakala fasa kedua (698 unit rumah bandar) 39 peratus.

“Setakat ini, projek ini mendapat sambutan begitu menggalakkan di mana kami berjaya mencatatkan jualan sehingga RM320 juta melalui dua fasa ini,” katanya.

Lim berkata, pihaknya akan melancarkan fasa baharu bagi Kita@Cybersouth dikenali Kita Harmoni dengan GDV sebanyak RM390 juta dan membabitkan 674 unit rumah teres dua tingkat pada harga bermula daripada RM560,000 pada bulan ini.

“Kami juga akan memperkenalkan Kita Impian dengan GDV sebanyak RM316 juta dalam usaha membina lebih banyak rumah mampu milik untuk orang ramai membabitkan 964 unit pangsapuri servis dan tujuh unit kedai dengan harga rumah yang bermula daripada RM250,000 pada bulan depan,” katanya.

Kita@Cybersouth mudah diakses melalui lebuhraya utama seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya melalui lebuhraya seperti Lebuhraya Elite dan terletak berdekatan dengan kemudahan awam dan institusi pengajian tinggi seperti Sekolah Kebangsaan Dengkil dan Universiti Xiamen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 4:52 PM