BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang jurujual pakaian yang menunjukkan video lucah kepada dua kanak-kanak didenda RM2,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap David Ng Qi Long, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah menunjukkan video lucah melalui telefon bimbit kepada anak jirannya yang masing-masing berumur 10 dan 11 tahun dengan niat mengaibkan kehormatan mereka.

Ng didakwa melakukan kesalahan itu di PPR Seri Alam di sini, pada 5 petang, 8 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Rosmira Embong memohon mahkamah mengenakan denda minimum dengan alasan ketika kejadian tertuduh hanya berniat untuk main-main.

“Selain itu, tertuduh juga perlu bekerja bagi membantu perbelanjaan keluarga kerana bapanya sudah tua dan menghidap pelbagai penyakit," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhkan berbentuk pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 4:50 PM