PENGGUNA LRT di Stesen Glenmarie. FOTO Asyraf Hamzah
PENGGUNA LRT di Stesen Glenmarie. FOTO Asyraf Hamzah


Kuala Lumpur: Gangguan teknikal kuasa elektrik yang berlaku di landasan LRT Kelana Jaya, hari ini, berpunca daripada penyadungan dalaman.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataannya, hari ini, berkata: “Bekalan kuasa elektrik oleh TNB bagi landasan itu berada dalam keadaan baik.

“Diharap, penjelasan ini dapat menghapuskan segala salah faham yang mungkin timbul mengenai gangguan bekalan kuasa itu.”

Awal pagi ini, beribu pengguna terkandas di beberapa stesen akibat masalah yang dialami sistem isyarat dan komunikasi yang melambatkan perjalanan tren LRT di antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi.

Ketua Pegawai Operasi LRT Kelana Jaya Ismail Abdullah berkata masalah itu memaksa RapidKL `menutup kuasa pada landasan’ di beberapa stesen di pusat bandar raya untuk menangani keadaan yang berlaku, pada kira-kira 7 pagi.

“Tren di laluan Kelana Jaya berulang alik di antara stesen Putra Heights dan Dang Wangi serta antara Gombak dan Ampang Park.

“Bas digunakan untuk mengangkut pengguna yang memerlukan perkhidmatan alternatif dari stesen LRT Sri Rampai ke pusat bandar raya antara KLCC dan pusat bandar raya,” kata Ismail dalam kenyataan kepada Bernama awal hari ini.

Perkhidmatan tren kembali seperti biasa bagi stesen arah utara dan selatan pada kira-kira 1.15 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 8:39 PM