FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP

Kuala Lumpur: Rapid Rail menyediakan tren perantara antara Stesen LRT Pasar Seni dan Dang Wangi, susulan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya di lima stesen bawah tanah, malam tadi.

Perkhidmatan bas perantara percuma juga disediakan membabitkan lapan bas di antara Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT Dang Wangi, sepanjang tempoh gangguan.

Dalam kenyataannya, syarikat itu memberitahu, perkhidmatan LRT kembali beroperasi seperti biasa pada 9.51 malam selepas bekalan kuasa dipulihkan.

"Siasatan awal mendapati, gangguan berpunca daripada salah satu kabel yang tidak dapat menyalurkan bekalan kuasa ke stesen-stesen bawah tanah.

"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan insiden ini berlaku agar ia dapat dielakkan pada masa hadapan," kata kenyataan itu.

Sepanjang tempoh gangguan, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen bagi membantu pergerakan penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:49 PM