Mazizul Dani


Seri Kembangan: Ekspo pengguna Halal Fiesta Malaysia (HALFEST) 2016 yang berakhir hari ini, dijangka mencapai sasaran jualan RM4 juta ringgit selepas lima hari berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif HALFEST Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu berdasarkan rekod jualan RM2 juta yang dicatatkan semalam.

"Kami sudah mencapai 70,000 pengunjung setakat ini dan jualan semalam saja mencecah RM2 juta manakala kelmarin, RM1 juta dan hari pertama RM747,208.

"Setiap hari kami mengira jumlah jualan 412 usahawan yang turut serta, dan saya yakin dengan jualan setakat ini, RM4 juta mampu dicapai selepas ekspo berakhir," katanya yang ditemui di lokasi ekspo, di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC) di sini.

Ekspo halal terbesar itu disertai 412 peserta pameran terdiri daripada usahawan mikro produk makanan dan minuman, produk farmasi, herba dan produk bukan makanan seperti kosmetik, pelaburan dan penjagaan kesihatan.

Shukri berkata sambutan daripada usahawan untuk tahun ini amat menggalakkan walaupun ramai mendaftar pada saat akhir.

"Kami sediakan 500 gerai dengan sewa berpatutan untuk ekspo lima hari. Pada hari pertama, ramai usahawan yang datang untuk namun sudah tiada gerai kosong.

“Saya percaya sambutan usahawan dan pengunjung pada tahun depan akan lebih baik dan kita akan mulakan pemasaran lebih awal," katanya.

Sementara itu, peniaga industri makanan berpendapat HALFEST adalah platform terbaik untuk melonjakkan jualan produk halal tempatan.

"Alhamdulillah, kali kedua menyertai ekspo ini sambutan menggalakkan kerana sudah mencatat jualan RM25,000," kata Shahrom Mohd Salleh yang syarikatnya mengeluarkan perencah segera masakan.

Peniaga makanan dalam tin, Fauzi Nordin yang menyertai HALFEST sejak 2012 menganggap penganjuran kali ini adalah yang terbaik.

"HALFEST memberi ruang kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memperkenalkan produk di pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Bagi pengunjung, antara tujuan mereka ke ekspo berkenaan kerana ada produk halal yang di pamerkan ekspo berkenaan sukar diperolehi di pasaran tempatan.

Mohd Gharib Ahmad, 50, berkata dia setiap tahu ke HALFEST kerana mementingkan produk halal namun agak kesal kerana ada produk terbabit sukar diperolehi di pasaran," kata

Pegawai penyelidik, Mohd Fauzi Haris, 37, yang sering ke ekspo berkenaan berkata, penganjuran ekspo itu kali ini menawarkan lebih banyak pilihan produk .

"Selain mencari produk halal berkualiti, saya datang ke sini juga untum mencari peluang menyertai IKS," katanya.

Suri rumah yang pertama kali berkunjung ke HALFEST, Zuraihan Mohd Affandi, 38, amat tertarik dengan ekspo berkenaan.

“Saya nak tahu mengenai produk keluaran Bumiputera dan Alhamdulillah, lihat semua produk bagus dan banyak gerai dibuka," katanya.

HALFEST 2016 hanya meletak sasaran 80,000 pengunjung sepanjang lima hari berlangsung bermula 31 Ogos lalu sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 11:17 PM
Ketua Pegawai Eksekutif HALFEST, Datuk Mohd Shukri Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif HALFEST, Datuk Mohd Shukri Abdullah.
Lebih 400 usahawan produk halal menyertai Halal Fiesta Malaysia (HALFEST) 2016 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC). - Foto SURIANIE MOHD HANIF
Lebih 400 usahawan produk halal menyertai Halal Fiesta Malaysia (HALFEST) 2016 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC). - Foto SURIANIE MOHD HANIF