MOHD Redzuan  (tiga dari kanan)   bersama  Dr Mohd Hatta   (dua dari  kanan) dan  Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan dan Pemantauan Keusahawanan Mohd Razman Abu Samah (kanan) dan wakil rakan strategik pada majlis  pra pelancaran Ekspo Halal Malaysia 2019 di MaGIC Cyberjaya, semalam.
MOHD Redzuan (tiga dari kanan) bersama Dr Mohd Hatta (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan dan Pemantauan Keusahawanan Mohd Razman Abu Samah (kanan) dan wakil rakan strategik pada majlis pra pelancaran Ekspo Halal Malaysia 2019 di MaGIC Cyberjaya, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan potensi jualan sebanyak RM50 juta dengan 300 sesi padanan perniagaan serta 20 pembeli dari Jepun bersempena penganjuran Ekspo Halal Malaysia 2019 (MHE 2019).

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ekspo itu yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Januari bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan halal sebagai inisiatif kepada pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

Ia juga adalah susulan daripada Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang halal antara kerajaan Malaysia dan Jepun yang ditandatangani pada 26 November 2018 bertujuan memastikan industri halal Malaysia dapat meneroka pasaran Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Penganjuran MHE 2019 adalah amat tepat dan mempunyai impak tinggi terhadap kedudukan Malaysia dalam pasaran industri halal dunia,” katanya dalam sidang media selepas prapelancaran MHE 2019, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Hatta Ramli.

Ekspo halal yang menyasarkan seramai 10,000 pengunjung itu menyediakan sebanyak 320 ruang pameran membabitkan usahawan dari enam kluster iaitu makanan dan minuman (F&B), bahan ramuan, bioteknologi, kosmetik, penjagaan kesihatan dan farmaseutikal serta logistik.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, dana kira-kira RM20 juta yang diumumkan kelmarin adalah peruntukan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedia ada untuk MED.

Katanya, hanya sebahagian daripada jumlah berkenaan akan digunakan bagi pembangunan prototaip kereta nasional ketiga.

MED seperti juga kementerian lain, mempunyai geran untuk R&D dan beliau telah mengetengahkan pandangan kepada jemaah menteri supaya sebahagian daripada dana itu digunakan bagi mewujudkan prototaip kereta nasional.

Bercakap pada majlis sama, Redzuan berkata, kos penyediaan prototaip kereta nasional, yang akan dibangunkan oleh vendor yang bakal diputuskan kelak, adalah lebih rendah daripada jumlah itu.

“Dana R&D yang dimiliki kementerian dianggarkan berjumlah RM20 juta, dan kita tidak gunakan kesemuanya untuk hasilkan prototaip kerana kita akui kos bagi bangunkan prototaip adalah lebih rendah daripada itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 6:15 AM