PANKHURI.
PANKHURI.
Ardini Sophia Sina


Melakonkan semula watak yang pernah dijayakan pelakon hebat tentunya cabaran besar dan pasti jadi perbandingan.

Itulah juga dihadapi aktres India, Pankhuri Awasthi, 30, apabila melakonkan semula karakter Razia Sultan untuk drama bersiri yang menjalani pembikinan semula.

Sebelum ini, cerita sejarah itu kali pertama difilemkan pada 1983 ditunjangi Hema Malini. Ternyata lakonan Pankhuri sama hebatnya seperti Hema.

Tentunya pujian diberikan terhadap lakonannya hingga dikenali melalui drama itu satu kejayaan besar buat Pankhuri. Bagaimanapun, dia banyak belajar cara melakonkan watak Razia dengan merujuk lakonan Hema.

“Sebelum memulakan penggambaran, saya menonton Razia Sultan dilakonkan Hema. Dia membawa karakter itu dengan sangat baik dan saya menjadikan lakonannya sebagai inspirasi supaya dapat menyampaikan mesej serta emosi yang sama.

“Perkara paling menarik dalam siri ini adalah lagu-lagu yang dijadikan runut untuk drama ini. Saya belajar gerak tubuh serta lontaran dialog daripada lakonan Hema. Boleh dikatakan ada sesetengah perkara yang saya lakukan sama seperti dia,” katanya.

Razia Sultan mengisahkan Razia menjadi sultan wanita pertama. Selain bahasa, Pankhuri juga perlu belajar menunggang kuda serta berlawan menggunakan pedang.

“Banyak persediaan yang saya harus lakukan demi Razia Sultan. Walaupun sukar, saya teruja melakonkan watak itu,” katanya dipilih membintangi drama itu selepas menghadiri uji bakat.

Bintang semakin meningkat naik itu tidak bersandarkan pada reputasinya sebelum ini. Walaupun lakonannya dalam beberapa filem serta drama berjaya mendapat perhatian dan namanya makin dikenali, dia sanggup menghadiri uji bakat semata-mata ingin menunjukkan kesungguhannya sebagai pelakon.

Pernah dicalonkan bagi beberapa anugerah, Pankhuri tidak mengganggap perkara itu sebagai penanda aras dia boleh duduk selesa dan menunggu tawaran.

Katanya, dia percaya peluang hanya tiba dengan usaha. Walaupun berjaya menggenggam trofi, tidak bermakna dia sudah berjaya.

“Untuk terus kekal dalam industri, saya harus kerja lebih keras. Setiap masa ada sahaja pelakon baharu yang lebih berbakat dan bila-bila masa boleh mengatasi saya.

“Sebab itu saya tidak hanya duduk dan menunggu tawaran datang. Apatah lagi untuk watak menarik seperti Razia Sultan, saya tidak kesah duduk menunggu giliran uji bakat.

“Seandainya saya tidak berjaya mendapatkan karakter itu, sekurang-kurangnya saya memperlihatkan komitmen, disiplin dan kemampuan saya di hadapan orang-orang yang berpengaruh dalam industri.

“Saya menghadiri uji bakat tidak sekadar mendapatkan tempat dalam drama itu, juga bagi memperlihatkan apa yang saya ada. Siapa tahu ada tempat untuk saya dalam karya mereka yang akan datang,” katanya.

Untuk watak itu juga, Pankhuri berhadapan cabaran besar apabila terpaksa berpakaian lengkap dengan aksesori seberat kira-kira 20 kilogram. Jenis kain digunakan juga menyebabkan timbul ruam di badannya.

“Hiasan kepala yang saya pakai memang sangat berat hingga sering sakit-sakit pada bahagian leher kerana terpaksa menanggung berat itu.

“Gelang tangan dan kaki juga sangat tebal. Selain itu, jenis kainnya juga menyebabkan gatal-gatal kerana tidak menyerap peluh.

“Saya tidak hanya belajar menunggang kuda dan berlawan guna pedang, juga terpaksa menanggung berat hiasan kepala.

“Setiap kali selesai penggambaran, pasti ada sahaja lebam baru pada tubuh, kaki atau lengan. Bagaimanapun, saya puas dengan hasilnya,” katanya.

Razia Sultan mengisahkan perebutan takhta, pergolakan politik, pengorbanan cinta dan pengkhianatan yang menguji kecekalan dan kebijaksanaan seorang puteri.

Dia dilantik ayahandanya, Sultan Iltutmish mewarisi takhta sebagai sultan. Drama mula disiarkan di India tahun lalu itu turut dijayakan Ankit Arora sebagai abang tiri Razia, Ruknuddin Firuz.

Kini rantaian ini bersiaran menerusi TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 4 petang berrmula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:06 AM