Sultan Hassanal Bolkiah dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (kiri) dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar (kanan) sejurus tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang.

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menerima keberangkatan lawatan rasmi Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan rasmi itu diadakan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-20 antara Malaysia dan Brunei.

“Rundingan itu adalah acara terpenting dalam kalendar hubungan dua hala bagi kedua-dua negara.

“Ia adalah platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,”katanya.

Menurutnya, Rundingan Pemimpin Tahunan ke-19 diadakan pada 11 Ogos 2015 di Bandar Seri Begawan, Brunei.

“Perdana Menteri mengalu-alukan lawatan baginda sebagai susulan kepada rundingan sebelum ini dalam usaha untuk terus memupuk dan mengukuhkan lagi kerjasama yang sudah terjalin sekian lama antara kedua-dua negara,”katanya.

Katanya, Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan turut meraikan baginda dalam satu Majlis Santapan Tengah Hari, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 6:47 AM