GAMBAR hiasan. Kelihatan Masjid Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Kelihatan Masjid Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan. FOTO AFP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertama ke Bandar Seri Begawan, Brunei selama dua hari bermula esok.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pasca Covid-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

"Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan pengwujudan aturan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara di antara Malaysia dan Brunei, kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi.

"Pertemuan ini akan disusuli dengan Majlis Santapan Rasmi yang dihoskan Sultan Brunei selain Perdana Menteri juga menghadiri sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Bandar Seri Begawan," kata Wisma Putra dalam kenyataan, hari ini.

Dalam lawatan itu, Ismail Sabri diiringi isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin; Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 5:04 PM