ANNE
ANNE
Ardini Sophia Sina


Dia juga manusia biasa. Apabila terlalu kerap diduga kesabarannya, pelakon popular Filipina, Anne Curtis, 31, akhirnya naik darah lalu menjawab semua komen seorang pengikutnya di laman sosial.

Komen negatif itu diterimanya selepas memuat naik gambar bersama teman lelaki, Erwan Heusaff pada laman sosial Instagram.

Seorang pengikut yang dikenali sebagai @bellabellesss memberi komen hingga membuatkan pelakon kelahiran Australia itu berang.

Katanya, enam tahun mereka bercinta dan ia bukan gambar percutian pertama dikongsi bersama peminat dan ia sepatutnya diketahui Bellabellesss.

Tambah menaikkan kemarahan Anne apabila setiap komen Bellabellesss sering mengaitkan dirinya dengan bekas teman lelaki, Sam Milby.

Sejak berpisah, Anne akui masing-masing membawa haluan dan meneruskan kehidupan tanpa menoleh ke belakang.

“Pada awalnya saya hanya tergelak membaca komen itu. Bagaimanapun, tindakannya terus memberikan komen yang tidak sepatutnya membuatkan saya berasa jengkel.

“Akhirnya memaksa saya membalas komennya. Saya tidak mahu terus-menerus dikaitkan dengan kisah lalu dan cuba menegurnya supaya tidak berulang lagi,” katanya.

Apa yang menghairankan Anne ialah setiap kali dia memuat naik gambar bersama teman lelakinya, pasti pengikut itu muncul dan memberi komen bahawa bekas teman lelakinya lebih padan dengannya.

“Mulanya saya anggap itu perkara biasa dan respons normal daripada peminat saya dan Milby. Bagaimanapun, ia berlarutan dan saya tidak mampu lagi untuk ketawa setiap kali membaca komen sebegitu.

“Ia menjengkelkan kerana saya sudah lama berpisah dengan Milby dan dia kini bercinta dengan orang lain. Walaupun dia bekas kekasih saya, mereka berdua tetap kawan baik saya dan tidak sepatutnya ada komen sebegitu.

“Saya juga sudah enam tahun bercinta dengan Heusaff dan peminat sepatutnya mendoakan kami,” katanya.

Selepas ditegur, Bellabelless kemudian meminta maaf atas kekhilafan itu. Pengikut Instagram Anne juga menyarankan supaya dia tidak menghiraukan lagi komen yang diberikan Bellabellesss.

Anne juga percaya pada peluang kedua dan tidak bercadang untuk menghalang Bellabellesss daripada terus menjadi pengikutnya di laman sosial. Lagi pun dia sudah meminta maaf.

“Selepas ditegur, dia pantas mengakui kesilapan dan meminta maaf. Saya gembira dengan tindakannya.

“Dia masih muda dan semestinya belum matang untuk memikirkan akibat daripada setiap tindakannya tetapi saya kagum dengan sikapnya yang mengakui kesilapan.

“Saya harap perkara itu tidak berulang lagi dan mengambil teguran itu sebagai iktibar agar tidak sewenang-wenangnya memberi komen,” katanya.

Anne juga gembira kerana percintaannya terus bertahan selama enam tahun. Dia menyifatkan Heusaff sebagai kekasih, sahabat baik dan teman melancong. Setiap kali foto mereka dimuat naik pada Instagram, ramai meminta mereka cepat-cepat berkahwin dan menimang cahaya mata.

Kata Anne, dia tidak berkecil hati dengan komen sebegitu malah mengakui ada perancangan untuk berkahwin tetapi tidak dalam masa terdekat ini.

“Masih banyak lagi tempat yang saya ingin pergi dan mungkin mahu menjelajah tempat menarik di Afrika. Saya akan berkahwin tetapi tidak dalam masa terdekat kerana kami sibuk dengan karier masing-masing.

“Melancong adalah masa untuk kami bersama. Selama enam tahun, saya gembira bersamanya dan berharap hubungan ini berkekalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:02 AM