BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengekalkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan terhadap seorang pemandu van sekolah yang merogol pelajar lembam berumur 16 tahun dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ser Kim Joo, 52, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen selepas dia didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar itu.

Dalam penghakimannya Azman berkata, mahkamah memutuskan dapatan dan sabitan Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.

Beliau berkata hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak tidak terlampau berat, malah Ser selaku perayu bernasib baik kerana pihak pendakwaan tidak merayu pelaksanaan hukuman berjalan secara berasingan.

Azman berkata, berdasarkan keterangan pakar psikologi, mangsa disahkan kurang kecerdikan namun mengikut Seksyen 375(e) Kanun Keseksaan, walaupun dengan kebenaran dan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun tiga bulan, perbuatan tertuduh tetap kesalahan.

“Ini kerana mangsa tidak faham akan perbuatan itu dan akibatnya yang menyebabkannya bersetuju," katanya.

Pada 31 Disember 2015, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Ser dan memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 2 Disember 2014.

Duda empat anak itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan merogol pelajar tingkatan empat di sebuah flat di Wangsa Maju pada 22 November dan 29 November 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:54 PM