ABDUL Rahim (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong (dua kiri). FOTO Muhaizan Yahya
ABDUL Rahim (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong (dua kiri). FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 385 kes penipuan Internet, Macau dan African Scam dilaporkan di Perak dengan kerugian RM4.55 juta dilaporkan.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kes sebanyak 81.6 peratus, manakala 215 peratus peningkatan jumlah kerugian berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Pada Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 385 kes penipuan melalui Internet (jual beli barang) dan panggilan telefon (Macau dan African Scam) yang dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 173 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Kesemua kes berkenaan membabitkan kerugian sebanyak RM4.55 juta menyaksikan peningkatan ketara berbanding RM1.44 juta untuk tempoh sama tahun lalu," katanya selepas melancarkan Program Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes penipuan berkenaan untuk tahun ini, 83 orang ditahan berbanding 45 orang pada 2015.

Abdul Rahim berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak sentiasa bekerjasama dengan kontinjen lain terutama Bukit Aman untuk membanteras kes penipuan ini melalui pelbagai operasi.

"Kita juga menjalankan pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat untuk memberi kesedaran mengenai jenayah penipuan ini termasuk melalui program komuniti kepolisian.

"Kesedaran masyarakat perlu ada bagi mengelak kes sebegini terus meningkat hingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 3:02 PM