AZIZULHASNI.
AZIZULHASNI.
FATEHAH ditaja YSD bagi Olimpik Rio.
FATEHAH ditaja YSD bagi Olimpik Rio.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio Azizulhasni Awang menaruh harapan pencapaian di pentas sukan terbesar dunia itu akan menarik lebih banyak penajaan bagi meneruskan cabaran menggegar di pentas antarabangsa.

Azizulhasni itu memecahkan dominasi Eropah di pentas final keirin apabila meraih gangsa di Velodrom Olimpik Rio minggu lalu.

“Kontrak saya dan Fatehah Mustapa bersama Yayasan Sime Darby (YSD) akan berakhir penghujung bulan nanti.

“Saya berharap kejayaan menang gangsa di Olimpik mampu membuka lebih banyak pintu untuk syarikat besar untuk menaja kami,” kata pelumba berusia 28 tahun itu.

YSD menaja skuad trek negara termasuk Azizulhasni sejak 2009 hingga 2012 bagi menghadapi Olimpik London dengan penajaan berjumlah RM2 juta.

Selepas menamatkan Olimpik London tanpa sebarang pingat, YSD terus melanjutkan penajaan menghadapi kempen di Rio dengan nilai tajaan RM2.85 juta.

Malah pada masa sama Azizulhasni juga penerima biasiswa YSD Star berjumlah RM456,000 untuk pengajiannya di Universiti Victoria Melbourne.

“Selepas ini kami mempunyai tempoh kira-kira enam bulan untuk menyelesaikan semua perkara termasuk penajaan, kontrak, urusan pasukan dan sebagainya bagi menghadapi musim baru.

“Saya berharap musim depan, kami akan mempunyai sebuah pasukan mantap. Kami menaruh harapan untuk perancangan lebih baik bagi menghasilkan keputusan lebih positif,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 9:56 AM