Mohd Rafi Mamat


Raub: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub memusnahkan tanaman pisang dan durian klon Musang King di kawasan seluas lebih 12 hektar yang ditanam secara haram di Kompartmen 48, Hutan Simpan Kelau, di sini.

Turut dimusnahkan pelbagai pokok buah-buahan seperti nangka, cempedak dan petai yang ditanam secara berperingkat dipercayai diusahakan oleh tiga individu tempatan.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, operasi musnah bermula 9 pagi semalam disertai 30 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan Unit Penguat Kuasa (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) serta di bawah pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Katanya, siasatan mendapati terdapat lebih 4,000 pokok pisang pelbagai jenis yang sudah mengeluarkan hasil dan kira-kira 350 pokok durian Musang King berusia antara enam bulan hingga tiga tahun.

Menurutnya, selain memusnahkan pokok, pihaknya turut merobohkan pondok atau rumah kongsi yang dipercayai tempat tinggal individu dan pekerja ladang berkenaan.

"Ketika operasi dijalankan, kami tidak menemui individu dalam kawasan ladang berkenaan, mereka bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.

"Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari," katanya yang turut menyertai operasi berkenaan, semalam.

Beliau berkata, usaha memusnahkan tanaman itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 4,000 pokok pisang dan durian Musang King bersaiz kecil.

Shahril berkata, kedudukan ladang berkenaan bersebelahan dengan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang sedang dalam pembinaan seolah menjadi pelindung pada individu terbabit.

"Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang menceroboh hutan simpan, tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 11:21 AM