SHAIFUL Azlan (kanan) dan Muhammad Napi rancang menunggang motosikal sejauh 5,000km.
SHAIFUL Azlan (kanan) dan Muhammad Napi rancang menunggang motosikal sejauh 5,000km.

Dua sahabat mahu mencatat nama mereka dalam The Malaysia Books of Record (MBOR) dengan menunggang motosikal bergilir-gilir sejauh 5,000 kilometer (km) tanpa henti bermula 27 Ogos ini.

Shaiful Azlan Ibrahim, 36, dan Muhammad Napi Mat Nawi, 35, bercadang mencipta rekod dalam program ‘Longest Distance Relay 5,000km Malaysia Book Of Record’ sejak Disember tahun lalu.

Shaiful Azlan berkata, program itu mungkin mengambil masa kira-kira 50 jam bila mana setiap penunggang menunggang bagi tempoh empat jam.

“Ia bermula dari Put­rajaya dengan mengikuti laluan ke selatan iaitu Johor sebelum ke Pahang, Terengganu dan Kelantan seterusnya menuju Perlis sebelum berpatah balik sekali gus berakhir di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 29 atau 30 Ogos ini.

“Sepanjang program ini, kami tidak bermalam tetapi hanya berhenti mengisi minyak, makan dan berehat seketika bagi memastikan ia mengikut jadual yang dirancang,” katanya ketika ditemui sewaktu memperkenalkan program ‘Longest Distance Relay 5,000km Malaysia Book Of Records’ baru-baru ini.

Hadir sama, Eksekutif Projek Kanan Givi Asia (Givi), Julian Loh; Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan, Komunikasi dan Hubungan Luar Benelli Keeway Motorcycles (BKM), Wan Najib Wan Daud dan Pengerusi Majlis Belia Kawasan Putrajaya, Nasru Syazwan Nawai.

Menurutnya, program yang memperuntukkan kos RM40,000 itu juga menerima sokongan daripada penaja seperti BKM dan Givi.

Shaiful Azlan berkata, tajaan itu membabitkan dua motosikal Benelli TnT 600S serta kelengkapan pakaian menunggang termasuk topi keledar jenama Givi.

“Kami mahu membuktikan bahawa motosikal yang digunakan ini mempunyai ketahanan sama seperti jenama lain dijual di pasaran,” katanya yang turut memiliki Benelli TnT 600S.

Beliau berkata, kejayaan program itu akan meniup semangat baru kepada belia terutama kawasan Putrajaya atau penunggang lain supaya menyertai aktiviti lebih positif serta bebas daripada ancaman dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:01 AM