Oleh Dang Setia

Saya mempunyai anak gadis berusia 16 tahun. Saya ibu tunggal dan mempunyai perniagaan sendiri. Saya terlalu sibuk dan hanya pulang rumah menjelang awal pagi. Kesempatan ini diambil anak untuk keluar dengan rakannya sehingga lewat malam.

Apabila saya menegur, anak cepat melenting hingga mengeluarkan kata-kata kesat yang melukakan hati saya. Saya tidak mampu mengawalnya dan bercadang ingin menghantarnya ke rumah bekas suami. Adakah cara saya betul?

INAN

Dungun, Terengganu

Mengelak berdepan masalah hanya memburukkan keadaan. Melepaskan kepada bekas suami untuk mengendalikan anak hanya menyebabkan anak lebih berasa tersisih dengan puan. Saranan Dang Setia ialah kuatkan iman dan lebih banyak bersabar.

Anak yang memberontak sebenarnya inginkan perhatian. Puan sedia maklum puan terlalu sibuk hingga anak berasa kosong. Kekosongan itu membuatkan anak mencari hiburan di luar. Puan sebaliknya harus mengisi kesepian anak dengan meluangkan masa bersama.

Biarpun sibuk, sekurang-kurangnya telefon, malah berbalas mesej menerusi laman sosial bersama anak. Cari masa terluang untuk bersama anak.

Pergi bercuti atau keluar makan bersama dengan anak. Ini membuatkan anak berasa ada komitmen dengan ibunya. Justeru, fikirkan kembali sama ada tindakan menghantar anak kepada suami wajar atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:03 AM