PEMAIN Argentina meraikan kemenangan.
PEMAIN Argentina meraikan kemenangan.

Rio de Janeiro: Argentina memenangi pingat emas pertama hoki lelaki Olimpik semalam selepas menewaskan Belgium 4-2 hasil gol pantas dalam tempoh 10 minit separuh masa pertama.

Kejayaan itu menyaksikan negara Amerika Selatan berkenaan menyamai rekod meraih tiga emas yang dilakar pada 1948.

“Saya seperti dapat menggenggam awan dengan tangan. Saya sangat gembira,” kata Gonzalo Peillat yang menjaringkan salah satu gol untuk keseluruhan 11 jaringan sepanjang temasya itu.

“Kami berjaya memenangi saingan ini dan ia adalah kali pertama dalam sejarah Argentina.

“Ia adalah impian saya. Ketika saya baru bermain hoki, saya sentiasa mengimpikan saat ini dan kini ia menjadi kenyataan,” katanya.

Belgium yang turut beraksi pada final pertama mereka, mendahului selepas hanya tiga minit pertama permainan menerusi Tanguy Cosyns.

Namun, negara Amerika Selatan itu kembali bangkit menerusi gol Pedro Ibarra, Ignacio Ortiz dan Peillat yang meledak jaringan pantas pada suku pertama.

Gauthier Boccard meledak gol kedua untuk Belgium selepas melakukan gerakan solo menewaskan tiga pertahanan sebelum menguis masuk ke penjuru gawang gol lawan.

Namun, Augustin Mazzilli memastikan emas menjadi milik Argentina selepas menjaringkan gol keempat.

“Kejayaan ini mungkin akan membantu meningkatkan lagi tahap sukan hoki lelaki di Argentina,” katanya.

“Pasukan wanita sudah melakukan yang terbaik sebelum ini.

“Jadi kami juga perlu meningkatkan tahap permainan dalam acara hoki lelaki. Harap setiap orang menyaksikan kejayaan ini dan membolehkan kami mendapat peruntukan kewangan lebih baik,” katanya lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:04 AM