Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah bas ekspres yang sedang ditunda. FOTO ihsan pembaca
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah bas ekspres yang sedang ditunda. FOTO ihsan pembaca
Aslina Abu Bakar


PEMANDU lori penunda panik apabila bas ekspres rosak yang ditunda tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Kampung Jabi, Besut, hari ini.

Dalam kejadian 2.50 pagi itu, pemandu berusia 30-an dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Besut untuk membaiki bas berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.55 pagi sebelum sembilan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah bas ekspres yang sedang ditunda terbakar di bahagian tayar hadapan sebelum usaha memadamkan kebakaran segera dijalankan.

"Siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada geseran dan minyak yang tumpah daripada bas itu.

"Bas berkenaan yang rosak ditunda untuk dibaiki di Besut tetapi ia mula terbakar apabila berlakunya geseran di bahagian hadapan kenderaan itu," katanya.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan tidak lama kemudian dan pemandu terbabit tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 6:33 PM