Orang ramai menyaksikan dari atas bumbung ratusan layang-layang di ruang udara New Delhi sempena sambutan Hari Kemerdekaan India minggu ini.
Orang ramai menyaksikan dari atas bumbung ratusan layang-layang di ruang udara New Delhi sempena sambutan Hari Kemerdekaan India minggu ini.
AFP

New Delhi: Tiga terbunuh termasuk dua kanak-kanak akibat leher mereka dikelar oleh tali layang-layang bersalut serpihan kaca ketika sambutan Hari Kemerdekaan India.

Dua kanak-kanak itu, berusia empat dan enam tahun, terbunuh dalam dua kejadian berasingan di New Delhi, Isnin lalu, ketika mereka mengeluarkan kepala melalui tingkap di bumbung kereta dinaiki.

“Kanak-kanak itu berdiri dengan sebahagian badan berada di luar tingkap bumbung kereta apabila tali layang-layang mengenai leher mereka,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis New Delhi, Pushpender Kumar.

Lelaki berusia 22 tahun terbunuh apabila tali layang-layang itu mengelar lehernya ketika dia sedang menunggang motosikal.

Pertandingan layang-layang amat popular ketika sambutan Hari Kemerdekaan India dan ramai menyalut tali dengan serpihan kaca bagi memutuskan tali layan-layang lawan.

Kematian itu menyebabkan kerajaan mengeluarkan arahan mengharamkan penggunaan tali bersalut kaca dengan mengenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda 100,000 rupee (AS$1,500).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 8:01 PM