AKTIVIS pelajar Filipina melaungkan slogan ketika menuntut keadilan untuk mangsa pembunuhan tanpa bicara ketika berhimpun di Universiti Filipina, utara Manila, semalam.  Mereka mendakwa ratusan penduduk miskin menjadi mangsa pembunuhan kempen Perang Dadah oleh Presiden Rodrigo Duterte. - AP
AKTIVIS pelajar Filipina melaungkan slogan ketika menuntut keadilan untuk mangsa pembunuhan tanpa bicara ketika berhimpun di Universiti Filipina, utara Manila, semalam. Mereka mendakwa ratusan penduduk miskin menjadi mangsa pembunuhan kempen Perang Dadah oleh Presiden Rodrigo Duterte. - AP
Reuters

Manila: Selepas memerangi dadah, Presiden Filipina Rodrigo Duterte kini beralih kepada industri perjudian atas talian yang semakin berkembang apabila dia bertindak menghapuskan monopoli dipegang sebuah firma sejak 13 tahun lalu dan menyelar pemiliknya sebagai bilionair yang korup.

Rakyat Filipina selama ini boleh berjudi di kafe atas talian berlesen serta kasino, namun Duterte enggan membaharui lesen eksklusif pengendali lebih 300 kafe seperti itu - Philweb Corp - selepas permitnya luput, kelmarin.

Ketua Pagcor - penyelaras kasino dan perjudian atas talian - Andrea Domingo berkata: “Tiada pilihan kerana presiden sudah menyatakan pendiriannya secara tegas.”

Minggu lalu, Duterte yang turut digelar ‘the Punisher’ (penghukum) menyelar pengerusi Philweb, bilionair Roberto Ongpin - antara lelaki terkaya di negara itu - sebagai contoh oligarki yang meraih kekayaan daripada penderitaan golongan miskin.

Kerugian ekonomi tahunan akibat menamatkan kontrak Philweb dan penutupan kafe judi dianggarkan 10 bilion peso (RM857 juta), kata Pagcor.

Industri judi Filipina antara yang paling bebas di Asia dan menarik puluhan syarikat atas talian asing sejak sedekad lalu untuk membuka pelayan yang menyasarkan penjudi dari luar negara.

Duterte mengisytiharkan perang terhadap perjudian atas talian tidak lama selepas mengangkat sumpah pada 30 Jun lalu dengan berkata: “Perjudian atas talian mesti dihentikan. Ia semakin banyak sehingga sudah tidak terkawal. ”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 10:14 AM