Afdlin sokong keputusan ikuti peredaran masa. FOTO NSTP
Afdlin sokong keputusan ikuti peredaran masa. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki menyambut baik mekanisma baru yang diperkenalkan kerajaan berkenaan pemansuhan kategori Filem Terbaik (Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia), Pengarah Terbaik (Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia) dan Lakon Layar Terbaik (Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia) dalam penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) pada 3 September ini.

Afdlin, 45, yang sebelum ini mahu memboikot FFM28 berkata, keputusan itu adalah tepat memandangkan ketika ini industri perfileman negara dibanjiri dengan karya bukan dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya.

"Dulu memang tidak banyak filem bukan di dalam Bahasa Malaysia, tetapi sekarang sudah berubah. Malah pasaran untuk filem begitu semakin mendapat tempat.

“Keputusan kali ini mengikut peredaran semasa. Lagipun banyak perkara positif diketengahkan dalam filem itu. Jadi tidak ada apa yang perlu dipertikaikan," katanya kepada Harian Metro.

Afdlin yang juga pemenang kategori Lakon Layar Terbaik pada FFM17 yang lalu berkata, mekanisma baru itu sedikit sebanyak memberi peluang kepada bangsa lain aktif dalam industri perfileman tempatan.

"Bahasa kebangsaan kita tetap Bahasa Malaysia, cuma penerbitan filem itu saja tidak menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan. Apabila kebanyakan filem itu mengharumkan nama Malaysia di luar negara, kita patut berbangga.

"Siapa tahu suatu hari nanti mereka terbuka hati menghasilkan filem berbahasa Malaysia sepenuhnya. Lagipun tidak ada salahnya jika kita saling membantu memperkukuhkan industri perfileman negara," kata Afdlin yang turut mengubah pendiriannya yang sebelum ini mahu memboikot FFM28.

Keputusan itu menyaksikan hanya satu kategori untuk filem terbaik iaitu Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan sekali gus menyaksikan filem Ola Bola dan Jagat yang sebelum ini diletakkan dalam kategori Filem Terbaik (Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia) dicalonkan dalam kategori utama itu.

Dalam masa sama, kategori-kategori lain di dalam FFM28 adalah kekal dan tidak berubah.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak memutuskan pemansuhan kategori Filem Terbaik (Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia), Pengarah Terbaik (Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia) dan Lakon Layar Terbaik (Filem Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia) dalam FFM28.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 8:53 PM